Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Nur Izzati ditemukan meninggal dunia selepas empat hari pencarian

Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lepas ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim.
Nur Izzati Humaira, 19, dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lepas ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian agar sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat. -Foto fail/Sinar Harian

HULU SELANGOR: Remaja perempuan Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemukan maut di Bukit Changkat Asa hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pada 9 pagi sebelum mangsa ditemukan pada 11.58 pagi oleh Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM).

“Mangsa ditemui dalam keadaan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan JBPM.

Image
[INSERT]_Nur Izzati Bukit Changkat Asa 2_SINAR

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mangsa ditemukan kira-kira satu kilometer dari pos kawalan operasi SAR.

Menurut beliau, terdapat kesan calar pada tubuh mangsa ketika ditemukan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR yang digerakkan sejak Sabtu lalu melibatkan 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu.

Pasukan terbabit menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit K9 dengan kenderaan Navara serta Unit STORM menggunakan kenderaan Urvan bagi membantu operasi di lokasi.

Jumlah keseluruhan anggota yang terlibat dalam operasi itu seramai 83 orang daripada pelbagai agensi termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela Batang Kali, Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah, malim gunung serta sukarelawan.

Image
[INSERT]_Nur Izzati Bukit Changkat Asa 1_SINAR

Pada Sabtu lalu, mangsa dilaporkan terpisah daripada lima rakan serta ahli keluarganya ketika melakukan aktiviti mendaki di kawasan berkenaan.

Panggilan kecemasan diterima pada 1.26 tengah hari, namun operasi hari pertama tidak berjaya menemukan mangsa.

Pada hari kedua, radius pencarian diperluaskan sehingga 0.43 kilometer persegi melibatkan operasi bersepadu bersama pelbagai agensi.

Operasi turut menggunakan dua ekor anjing Unit K9 JBPM serta tiga unit dron, namun masih tiada petunjuk sebelum ditangguhkan pada 7 malam dan disambung keesokan hari.

Pencarian diteruskan semalam dengan radius diperluaskan kepada 0.65 kilometer persegi, namun mangsa masih belum ditemukan sebelum operasi kembali ditangguhkan.

Mangsa akhirnya ditemukan hari ini.

 

Must Watch Video

Advertisement