Skip to main content

Malaysia

NKF perkukuh komitmen, perluas akses rawatan buah pinggang

BANTING, 12 April -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tiga, kiri) bergambar pada Majlis Pembukaan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Dewan Banquet Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.  Turut hadir Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Selangor Jamaliah Jamaluddin (dua, kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) Dr Sunita Bavanandan (dua, kanan).
Dr Dzulkefly (tiga, kiri) bergambar pada Majlis Pembukaan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Dewan Banquet Wisma MBSA pada Ahad. Turut hadir Jamaliah (dua, kiri) dan Dr Sunita (dua, kanan). - Gambar Bernama

SHAH ALAM: Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) komited untuk terus memperluas akses penjagaan buah pinggang melalui pelan pengembangan perkhidmatan tahun ini selaras usaha menangani peningkatan kes penyakit buah pinggang kronik (CKD) di negara ini.

Ahli Lembaga Pengarah NKF Dr Sunita Bavanandam berkata usaha memperkukuh sistem rawatan dan pencegahan CKD yang dijalankan pihaknya sehingga kini dilihat memerlukan pendekatan berterusan serta kerjasama daripada pelbagai pihak.

“CKD merupakan cabaran kesihatan awam yang memerlukan tindakan berterusan dan pendekatan yang lebih menyeluruh termasuk kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“NKF terus komited memperluas akses rawatan serta memperkukuh sistem sokongan pesakit melalui pendekatan yang lebih sistematik dan mampan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini semalam.

Beliau berkata NKF akan memperluas perkhidmatan melalui penubuhan empat pusat dialisis peritoneal (PD) dan CKD di kawasan berkeperluan tinggi termasuk Sabah dan Sarawak.

 Dr Sunita berkata perluasan perkhidmatan akan menumpukan kepada usaha memastikan akses rawatan yang lebih saksama kepada semua pesakit tanpa mengira lokasi bagi memastikan perkhidmatan dialisis dapat diakses tanpa mengira lokasi geografi.

Pada masa sama, beliau memaklumkan pihaknya akan memperkukuh pembangunan pusat rawatan bersepadu merangkumi hemodialisis, latihan PD serta kaunseling CKD.

“Pendekatan bersepadu ini bertujuan mempertingkatkan ekosistem rawatan dan meningkatkan keberkesanan pengurusan pesakit,” katanya.

Beliau berkata NKF juga terus memperkukuh pendekatan PD sebagai kaedah rawatan yang lebih fleksibel dan mesra pesakit ekoran kaedah berkenaan boleh dilakukan di rumah, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit.

NKF juga katanya menumpukan kepada usaha pencegahan melalui saringan awal dan pengesanan risiko dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi kerana pendekatan sedemikian penting bagi mengurangkan jumlah pesakit yang hadir pada peringkat lewat serta memerlukan rawatan intensif.

Sehubungan itu, pihaknya komited untuk memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) serta rakan strategik lain bagi memperluas program saringan komuniti.

“Kerjasama ini membolehkan pelaksanaan intervensi yang lebih tersusun termasuk rujukan awal dan pemantauan berterusan terhadap kumpulan berisiko," katanya.

Terdahulu, Dr Sunita mengiringi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin melancarkan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video