SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan beliau menghina, merendah atau mempersendakan wibawa para sahabat Nabi Muhammad SAW dalam ceramahnya baru- baru ini.
Nik Muhammad Zawawi berkata, perkara yang disampaikan ketika itu hanya untuk memudahkan masyarakat memahami konteks sejarah.
Menurut beliau, misalnya penggunaan istilah 'ceti' itu adalah bertujuan agar masyarakat lebih mudah memahami betapa zalim zaman jahiliyah dan indahnya sistem Islam yang dibawa selepas itu.
"Apa yang saya maksudkan ialah pada zaman jahiliyah di Mekah, sesiapa sahaja yang bermuamalah dalam masyarakat ketika itu terpaksa akur dan patuh.
"Ia termasuklah tokoh-tokoh seperti Abu Bakar RA dan Abdul Rahman bin Auf. Mereka hidup dalam sistem tersebut sebelum Islam datang serta sebelum Rasulullah SAW diutuskan.
"Oleh itu, ia bukan kesalahan para sahabat kerana ketika itu Islam belum diturunkan lagi. Saya menyebut perkara ini untuk memudahkan masyarakat memahaminya," katanya pada Selasa.
Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib yang mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.
Antara lain setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang "bapa ceti" yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman jahiliyah.
Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.
Nik Muhammad Zawawi turut menegaskan bahawa beliau tidak menyebut Saidina Abu Bakar seorang yang jahat, apatah lagi mencerca sahabat nabi dalam kenyataannya sebelum ini
Jelasnya, itu perkara yang tidak boleh dilakukan oleh mana-mana Muslim.
"Saya hanya berkata bahawa ALLAH SWT menjadikan Saidina Abu Bakar sebagai model manusia yang berubah setelah menerima Islam dan tarbiah daripada Rasulullah SAW.
"Daripada seorang yang hidup dalam sistem jahiliyah beliau berubah menjadi insan contoh apabila menerima didikan Islam.
"Justeru, tidak timbul isu saya mencaci sahabat sehingga diminta bertaubat. Saya menyeru semua pihak agar bersatu padu dan tidak terus menimbulkan fitnah, InsyaALLAH, saya maafkan semua pihak yang menuduh saya," ujarnya. - Sinar Harian