Skip to main content

Malaysia

Murid tahun enam meninggal pernah mengadu sakit dada - Polis

BERNAMA
Mangsa dilaporkan pengsan ketika menghadiri perhimpunan di sekolah sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan rawatan. - Gambar BERNAMA

KLANG: Seorang murid tahun enam yang meninggal dunia selepas rebah ketika menghadiri perhimpunan bulanan di dewan sekolahnya di Klang pada Jumaat, dilaporkan pernah mengadu sakit dada kepada bapanya kira-kira dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan di klinik sebelum disahkan berada dalam keadaan sihat. 

Bagaimanapun, katanya, punca sebenar kematian hanya dapat dipastikan selepas laporan bedah siasat diperoleh.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.

Vijaya Rao berkata, mangsa merupakan anak tunggal kepada seorang anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Menurutnya, setakat ini polis sudah merakam keterangan guru besar sekolah berkenaan dan bapa mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dilaporkan pengsan ketika menghadiri perhimpunan di sekolah sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan rawatan. 

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas itu.

Must Watch Video