LUMUT: Penyertaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam misi LEKIR Australia Deployment 2026 (LEAD ’26) menjadi sebahagian daripada persediaan memenuhi keperluan dan kemampuan sumber tenaga mengoperasikan aset pada masa hadapan.
Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor berkata penglibatan KD Lekir itu selari dengan Program Transformasi 15 to 5 yang ketika ini sedang dalam fasa transisi ke arah pemodenan aset.
Beliau berkata pengalaman operasi sebenar dan pendedahan antarabangsa yang diperoleh sepanjang misi itu penting dalam memastikan warga TLDM berkebolehan mengoperasikan aset berteknologi tinggi.
“Tidak lama lagi, TLDM bakal menerima lima kapal Littoral Combat Ship (LCS) buatan tempatan dan tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS) dari Turkiye seterusnya kapal Multi Role Support Ship (MRSS) yang kini dalam proses perolehan.
“Kesemua kapal ini mempunyai keupayaan tinggi dari segi teknologi moden dan terkini serta antara terbaik di rantau ini yang memerlukan warga berpengetahuan, berkemahiran, berpengalaman serta mempunyai sikap kerja yang baik,” katanya.
Baharudin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Kepulangan KD Lekir Selesai Lekir Australia Deployment 2026 di Pangkalan TLDM di sini hari ini. Pelayaran itu bermula pada 26 Feb.
Beliau berkata kejayaan pelayaran sejauh 10,635 batu nautika mengelilingi benua Australia membuktikan keupayaan warga TLDM melaksanakan operasi mencabar di perairan antarabangsa.
“KD LEKIR pada usia menjangkau 42 tahun sekali lagi membuktikan ia sebuah kapal yang gagah kerana dalam LEAD ‘26, KD LEKIR berjaya mengelilingi benua Australia dengan selamat tanpa sebarang kerosakan kritikal.
“Sebanyak tujuh perairan utama iaitu Laut Jawa, Laut Timor, Laut Arafura, Laut Coral, Laut Tasman, Great Australian Bight serta Lautan Hindi berjaya diharungi KD LEKIR dengan selamat,” katanya.
Great Australian Bight ialah antara perairan paling mencabar dengan purata ketinggian ombak sekitar lima hingga tujuh meter sepanjang tahun dan tanpa kawasan berlindung, menyebabkan hanya mereka berpengalaman dapat merentasi lautan tersebut.
Selain itu, Baharudin berkata misi itu juga memperkukuh hubungan dengan negara sahabat di dalam dan luar rantau yang merupakan tunggak ketiga strategi yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
“Melalui penglibatan TLDM dalam LEAD `26, kapal ini menyertai dua eksesais utama iaitu Eksesais KAKADU 26 dan Eksesais MASTEX 26 yang merangkumi peperangan pelbagai dimensi, iaitu peperangan permukaan, peperangan anti-udara dan peperangan anti-kapal selam.
“Manfaat penglibatan TLDM dalam dua eksesais ini bukan sekadar latihan tetapi apa yang lebih penting ialah pendedahan warga pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Memerintah KD Lekir Komander Megat Mohamad Sofwan Firdaus Megat Mohamad Yunus berkata keadaan laut bergelora dengan ombak setinggi tujuh meter serta kelajuan angin mencecah 100 kilometer sejam antara cabaran utama dihadapi dalam misi itu.
“Pengalaman mencabar bagi saya ialah semasa melalui Great Barrier Reef dan dari Melbourne ke Perth dekat Great Australian Bight kerana berada di sana kira-kira empat hari akibat cuaca buruk.
“Bagaimanapun, kami dapat meneruskan penugasan itu dan akhirnya berjaya melaksanakan misi dengan baik,” katanya.
-- BERNAMA