TEHRAN: Penasihat ketenteraan kepada Pemimpin Agung Iran, Mohsen Rezaee, mengeluarkan amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) dengan mengancam untuk menjadikan Selat Hormuz sebagai “tanah perkuburan” bagi kapal pengangkut pesawat serta tentera negara itu.
Menerusi hantaran di platform X pada Ahad, Rezaee yang merupakan bekas Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyamakan kehadiran tentera AS yang mengenakan sekatan maritim di laluan strategik berkenaan sebagai “lanun”.
“AS adalah satu-satunya lanun di dunia yang memiliki kapal pengangkut pesawat. Keupayaan kami untuk menentang lanun tidak kurang daripada keupayaan kami untuk menenggelamkan kapal perang,” kata Rezaee dalam kenyataan tersebut.
The U.S. is the only pirate in the world that possesses aircraft carriers. Our ability to confront pirates is no less than our ability to sink warships.
Prepare to face a graveyard of your carriers and forces, just as the wreckage of your aircraft was left behind in Isfahan.— محسن رضایی (@ir_rezaee) May 3, 2026
Beliau turut memberi amaran supaya AS bersedia berdepan “bangkai” kapal pengangkut dan tenteranya, sambil merujuk kepada sisa pesawat pejuang F‑15E yang didakwa ditembak jatuh di Isfahan pada awal April lalu.
Ancaman itu dikeluarkan ketika ketegangan terus memuncak susulan sekatan maritim AS terhadap pelabuhan Iran yang bermula sejak 13 April, sebagai tindak balas kepada langkah Tehran menutup Selat Hormuz sebelum ini.
Rezaee, yang juga Setiausaha Majlis Penentuan Kepentingan Iran, menegaskan bahawa negaranya tidak akan berundur dari Selat Hormuz sehingga apa yang disifatkannya sebagai “hak Iran” dipenuhi sepenuhnya.
Beliau sebelum ini turut mencabar keberanian AS untuk melintasi selat berkenaan dan mendakwa peluru berpandu Iran berkeupayaan memusnahkan aset ketenteraan musuh dengan mudah.
Situasi di Selat Hormuz kekal kritikal, dengan kawalan ketat oleh tentera Iran yang dilaporkan hanya membenarkan kapal komersial dari negara yang dianggap “bukan musuh” untuk melintasinya.
Perkembangan terbaharu itu berlaku di tengah‑tengah rundingan damai yang sedang diusahakan di Islamabad, Pakistan, namun kedua‑dua pihak dilaporkan masih belum mencapai kata sepakat berhubung syarat penamatan konflik.