PARIT: Seorang pemotong rumput dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh dua mahkamah berasingan hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 342 video lucah, termasuk kandungan melibatkan kanak-kanak sejak 10 tahun lepas.
Di Mahkamah Majistret Parit, Idham Rhusla Mohamad Shahuri, 42, dikenakan hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memiliki 341 video lucah dalam sebuah telefon bimbit.
Majistret Nurul Izalina Rajaai memerintahkan bapa kepada dua anak itu menjalani hukuman bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Mengikut pertuduhan, Idham Rhusla didakwa memiliki video berkenaan dalam telefon bimbit jenama Oppo A35 di Kampung Sadang, Belanja Kiri, dalam daerah Perak Tengah pada 12.51 tengah hari, Isnin lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri yang memohon hukuman penjara setimpal sebagai pengajaran, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara kerana tidak mampu membayar denda selain perlu menanggung bapanya berusia 77 tahun.
Semasa prosiding, Idham Rhusla memberitahu mahkamah bahawa dia mula menyimpan video berkenaan sejak bercerai dengan isterinya pada penghujung 2016.
Nurul Izalina kemudian menegur tertuduh supaya insaf atas kesalahan dilakukan kerana dia merupakan bapa kepada dua anak berusia 16 dan 18 tahun serta perbuatan itu akan memberi kesan negatif ke atas dirinya.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Ipoh, lelaki berkenaan turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memiliki satu video pornografi kanak-kanak dalam telefon bimbit yang sama.
Hakim Jean Sharmila Jesudason memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 6 April lepas, selain menetapkan pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat tempoh pemenjaraan dan wajib menjalani sesi kaunseling pemulihan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak yang disimpan dalam telefon bimbit sama serta perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya perkara itu tidak berulang, selain sebagai pencegahan kepada masyarakat berikutan memiliki bahan lucah melibatkan kanak-kanak yang kini semakin berleluasa.
Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan M. Kathan merayu agar dikenakan hukuman penjara yang singkat dari tarikh tangkapan kerana mempunyai tanggungan serta bekerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan, selain pengakuan bersalah menjimatkan masa serta kos mahkamah.
-- BERNAMA