SINGAPURA: Menteri Pertahanan Norway Tore O. Sandvik telah menyatakan permohonan maaf berhubung keputusan kerajaannya membatalkan lesen eksport bagi peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled berkata permohonan maaf tersebut disampaikan oleh rakan sejawat beliau itu dalam pertemuan dua hala di luar sidang Dialog Shangri-La IISS ke-23, di sini hari ini.
Beliau berkata dalam pertemuan itu, Sandvik turut memperincikan sebab dan punca terhadap keputusan pembatalan yang diambil oleh kerajaan Norway.
"Beliau telah menyampaikan permohonan maafnya (dan) telah menyatakan asas pembatalan tersebut yang kita boleh terima, sama ada benar ataupun direka, kalau mereka memang tidak mahu ataupun telah membatalkan lesen eksport NSM tersebut.
"Kita telah sampaikan secara jujur dan terang mengenai kekecewaan kita kerana hubungan yang lama, rapat dan baik selama ini wujud antara Norway dan Malaysia (namun) melalui episod pembatalan NSM ini," katanya kepada Bernama selepas pertemuan dua hala di Hotel Shangri-La Singapore, di sini hari ini.
Kerajaan Norway sebelum ini dilapor membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.
Mengulas mengenai tuntutan Malaysia, Mohamed Khaled berkata kerajaan berharap Norway dapat bekerjasama sebagai negara sahabat untuk memulangkan semula bayaran yang telah dilunaskan iaitu kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak.
"Perkara ini akan dibawa oleh Menteri Pertahanan Norway kepada kerajaannya, tetapi sama ada kita akan mendapat keputusan yang baik atau tidak itu saya ragu," katanya.
Beliau turut memaklumkan Malaysia telah menghantar surat tuntutan saman kepada syarikat berkaitan dan kini sedang menunggu maklum balas daripada kerajaan Norway.
"Kita tengok kerajaan Norway kalau dia betul-betul nak jaga hubungan yang baik dan kekalkan persahabatan, beliau mungkin ambil tindakan untuk mendahulukan apa yang telah kita bayar," katanya.
-- BERNAMA