MELAKA: Kerajaan negeri akan menganjurkan lebih banyak program berunsur seni, budaya dan warisan sebagai tarikan utama pelancong ke Melaka, khususnya sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0), pada tahun ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata inisiatif itu, dilaksanakan bukan sahaja untuk memperkenalkan keunikan Melaka sebagai negeri pelancongan yang mempunyai pelbagai kaum dengan budaya dan warisan tersendiri kepada pelancong antarabangsa, malah kepada generasi muda di negara ini.
Beliau berkata langkah itu juga sabagai satu usaha untuk memelihara dan menghidupkan elemen seni, budaya dan warisan yang ada di Melaka agar tidak dilupakan atau hilang ditelan zaman.
“Melaka bukan sahaja terkenal sebagai negeri warisan UNESCO melibatkan tinggalan bangunan sejarah yang unik dan menarik, tetapi turut mempunyai pelbagai lagi keistimewaan serta tarikan daripada aspek seni, budaya dan warisan.
“Menerusi program berkenaan juga, kita akan melibatkan penyertaan pelancong antarabangsa dan domestik, untuk merasai pengalaman bermain sukan atau permainan tradisional, persembahan kebudayaan dan kesenian atau membuat makanan atau kuih tradisional,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Sepetang Warisan Santai @ Banda Hilir yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (Tourism Melaka) Nasrul Ahmad.
Abdul Razak berkata hampir 100 program termasuk acara mega akan dianjurkan menjelang akhir tahun ini sempena TMM 2.0, bagi melengkapkan kalendar pelancongan negeri pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 220 program.
“Setiap bulan memang ada sahaja program pelancongan yang telah dirangka sempena TMM 2.0 dengan pelbagai pengisian untuk menarik pelancong dalam dan luar negara, termasuk Program Sepetang Warisan Santai @ Banda Hilir yang berlangsung hari ini.
Terdahulu, pada program berkenaan kerajaan negeri menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada empat persatuan beca di Melaka, sebagai salah satu usaha mengiktiraf peranan pengayuh beca yang merupakan ikon pelancongan negeri itu.
-- BERNAMA