KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang mencadangkan supaya satu mekanisme libat urus yang lebih tersusun diwujudkan antara pihak berkuasa dan badan-badan agama di peringkat nasional.
Aaron menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata cadangan itu akan diutarakan dan dibincangkan bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming esok.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap isu dapat ditangani secara inklusif dan mengurangkan salah faham serta menjamin keharmonian negara,” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST).
Perjumpaan itu bertujuan membincangkan beberapa isu semasa, termasuk perkara-perkara berkaitan rumah ibadat selain Islam.
Aaron berkata dalam pertemuan itu, MCCBCHST turut menegaskan bahawa mereka mendukung tinggi kerangka undang-undang negara yang sedia ada.
“Namun demikian, mereka memohon agar pendekatan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih berhemah, konsultatif dan sensitif, khususnya sebelum sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
-- BERNAMA