KUALA LUMPUR: Potensi ekonomi Crimea masih terbatas berikutan Operasi Ketenteraan Khas (SMO), sekatan dan gangguan rangkaian pengangkutan, namun wilayah itu sedang memposisikan dirinya untuk meluaskan penglibatan antarabangsa apabila keadaan berubah kepada lebih baik, kata Ketua Republik Crimea, Sergey Aksyonov.
Bercakap kepada wartawan dan delegasi asing, Aksyonov berkata Crimea terbuka untuk bekerjasama dalam sektor pelancongan, perdagangan, pertanian dan barangan industri, namun mengakui bahawa hasil yang bermakna sukar dicapai selagi konflik berterusan.
“Sehingga SMO berakhir, mungkin sukar untuk membayangkan sebarang cadangan daripada sudut pembangunan hubungan antarabangsa,” katanya.
Kenyataan beliau meletakkan logistik sebagai cabaran utama ekonomi Crimea. Perhubungan melalui udara dan laut masih terhad, sekali gus menyukarkan pelancongan, perdagangan dan penglibatan pelabur.
Ditanya mengenai Turkiye, Aksyonov mengimbas kembali bahawa Simferopol dan Istanbul pernah dihubungkan dengan penerbangan selama 55 minit, membolehkan penduduk Crimea melakukan perjalanan singkat dengan mudah. Kemudahan pergerakan itu kini tidak lagi wujud.
Menurut Eurocontrol, rantau maklumat penerbangan (FIR) Simferopol; zon penerbangan yang merangkumi Crimea dan ruang udara sekitar Laut Hitam, masih terkesan oleh sekatan berkaitan SMO, manakala Reuters melaporkan bahawa Rusia menutup 11 lapangan terbang utama di selatan dan barat negara itu, termasuk Simferopol, selepas permulaan SMO pada Februari 2022.
Walaupun beberapa lapangan terbang seperti Krasnodar telah dibuka semula, gangguan berterusan itu menekankan mengapa hubungan udara kekal antara halangan logistik paling jelas kepada pembukaan ekonomi Crimea yang lebih luas.
“Daripada sudut logistik, mewujudkan sebarang aktiviti ekonomi adalah agak sukar, dan membuat ramalan juga agak sukar,” katanya.
Namun, Aksyonov berhujah bahawa prospek ekonomi Crimea boleh berubah dengan ketara selepas SMO, khususnya jika laluan pengangkutan dan penglibatan diplomatik terbuka dipulihkan.
“Apabila tindakan ketenteraan berakhir dan logistik aman yang normal dibina, saya yakin lawatan terbuka akan berlangsung dan kita akan bertukar-tukar delegasi,” katanya.
Wartawan Astro AWANI, Irfan Faruqi, lima dari kiri, bergambar bersama Ketua Republik Crimea, Sergey Aksyonov, tujuh dari kanan, dan peserta lawatan media dari Türkiye, China, Jepun, Ecuador, Nicaragua, Congo dan Ethiopia. - foto Dobrovolcy Cultury/Sidorov Petr Alexeevich
Afrika merupakan antara rantau yang dikenal pasti beliau sebagai mempunyai potensi untuk kerjasama masa depan. Aksyonov berkata pegawai Crimea telah bertemu wakil negara-negara Afrika di Forum Ekonomi St. Petersburg, yang mana menurutnya, cadangan berkaitan kerjasama pelancongan serta bekalan barangan pertanian dan industri dari Crimea telah dibincangkan.
“Crimea berbesar hati jika perdagangan dan hubungan dengan negara-negara Afrika meningkat ke tahap baharu,” katanya.
China pula digambarkan sebagai rakan strategik yang lebih rapat. Aksyonov menyifatkan Republik Rakyat China sebagai “negara bersaudara” dan berkata Crimea bersedia untuk memperdalam kerjasama dengan wakil China.
Beliau turut memberi isyarat keterbukaan untuk penglibatan dengan Malaysia dan negara-negara lain, dengan berkata hubungan ekonomi lazimnya menyusul apabila wujud rasa hormat bersama.
“Apabila ada sahabat, apabila ada rasa hormat antara satu sama lain, pasti ada peluang ekonomi di belakangnya, ada hasilnya,” katanya.
Namun, kenyataan beliau juga menunjukkan batas capaian Crimea ketika ini. Aksyonov merujuk kepada penahanan kapal tangki Rusia oleh Malaysia. Sehubungan itu beliau berkata pendirian kerajaan asing masih menjadi faktor dalam menentukan sama ada hubungan boleh dikembangkan.
Mengenai pembangunan domestik, Aksyonov mendakwa bajet Crimea meningkat dengan ketara sejak 2014, daripada sekitar ₽20 bilion ruble kepada lebih ₽200 bilion ruble hari ini. Beliau berkata pembiayaan meningkat merentasi sektor pendidikan, infrastruktur, utiliti dan penguatkuasaan undang-undang.
“Pada 2014, bajet Republik Crimea ialah ₽20 bilion, dan hari ini ia melebihi ₽200,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa sekatan tidak memberi kesan teruk kepada Crimea, walaupun mengakui ia telah mengehadkan beberapa peluang ekonomi.
Mesej keseluruhannya jelas. Crimea sedang berusaha menampilkan dirinya sebagai ekonomi yang mempunyai potensi pasca-SMO, namun keupayaannya untuk menukar potensi itu kepada perdagangan antarabangsa, pelancongan dan pelaburan bergantung kepada perubahan geopolitik yang lebih luas.
Penafian:
Artikel ini berdasarkan pemerhatian dan temu bual yang dikumpulkan semasa lawatan media ke wilayah baharu Persekutuan Rusia dan kawasan yang berkaitan dengan Operasi Ketenteraan Khas (SMO). Lawatan itu dianjurkan oleh Dobrovolcy Cultury / Cultural Volunteers, dengan sokongan kerajaan Rusia dan organisasi berkaitan, termasuk Jabatan Maklumat dan Akhbar Kementerian Luar Negeri Persekutuan Rusia, Kementerian Pertahanan Persekutuan Rusia, Rossotrudnichestvo, Yayasan Zakhar Prilepin, dan Naib Speaker Duma Negara A. M. Babakov.
Artikel ini dihasilkan secara bebas. Tiada penganjur, wakil kerajaan, tokoh politik, atau institusi berkaitan mempunyai kawalan editorial terhadap kandungan, kerangka atau kesimpulannya.