KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberikan tumpuan kepada pendekatan mesra masyarakat dalam pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2026 bagi memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan secara lebih berkesan hingga peringkat akar umbi.
Menurut MCMC, strategi utama tahun ini beralih kepada penganjuran Karnival Komuniti pada peringkat kampung, mukim dan daerah di seluruh negara bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang santai dan interaktif.
Pendekatan secara bersemuka itu diyakini mampu meningkatkan penglibatan komuniti, sekali gus menjadikan mesej keselamatan Internet lebih mudah difahami serta dihayati semua lapisan masyarakat.
“Penekanan diberikan kepada aktiviti amali seperti simulasi penipuan dalam talian (scam), permainan interaktif dan demonstrasi keselamatan digital. Antara elemen utama ialah bimbingan secara langsung mengenai pengaktifan ciri keselamatan seperti Perisian Kawalan Ibu Bapa atau Parental Control Tools pada peranti.
“Usaha ini bertujuan memperkasakan ibu bapa dan penjaga agar bukan sahaja peka terhadap risiko dunia digital, malah berupaya memantau penggunaan Internet anak-anak secara lebih berkesan,” menurut MCMC dalam jawapan bertulis kepada Bernama.
Selain penglibatan fizikal di lapangan, MCMC turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pempengaruh media sosial untuk menyampaikan mesej advokasi secara organik, khususnya kepada golongan muda yang aktif di platform digital.
Kempen Internet Selamat 2026 yang dilancarkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada 8 Feb lepas bersempena dengan Hari Keselamatan Internet, merupakan kesinambungan inisiatif KIS 1.0 yang dilaksanakan sejak tahun lepas melibatkan lebih 8,000 sekolah dan 370,000 pelajar.
Mengulas tentang fokus kempen yang merangkumi ibu bapa dan komuniti secara meluas, MCMC memaklumkan golongan berkenaan merupakan barisan perlindungan pertama dalam ekosistem keselamatan digital.
“Keselamatan Internet bukan sekadar tanggungjawab individu, sebaliknya memerlukan ekosistem sokongan yang kukuh pada peringkat keluarga dan komuniti. Ibu bapa perlu diperkasakan agar bukan sahaja peka terhadap risiko, malah berupaya membimbing generasi muda,” katanya.
Bagi mengukuhkan jangkauan pada peringkat akar umbi, kempen itu turut melibatkan kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pemimpin setempat, agensi keselamatan serta sukarelawan digital.
MCMC berharap langkah menyeluruh itu dapat membentuk tabiat penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab, sekali gus memastikan kesan kempen berkenaan menjadi lebih konsisten dan berimpak tinggi di seluruh negara.
“Fokus kepada ibu bapa dan komuniti adalah kritikal kerana mereka berperanan membimbing, memantau dan membentuk tabiat penggunaan Internet yang selamat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Dengan ekosistem sokongan yang kukuh, impak keseluruhan Kempen Internet Selamat 2026 akan menjadi lebih menyeluruh dan berkesan,” menurut MCMC.
-- BERNAMA
TAG: MCMC, Kempen Internet Selamat, komuniti, penipuan