KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara membuka kempen kelayakan Piala Dunia dengan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Austria dalam aksi Kumpulan B di Ismailia, Mesir, hari ini.
Malaysia bagaimanapun dikejutkan seawal minit ketiga menerusi pukulan penalti strok oleh Fulop Losonci sebelum skuad negara menunjukkan taring, dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-24 hasil jaringan padang berturut-turut oleh Azrai Aizad Abu Kamal dan Shello Silverius.
Momentum kemenangan diteruskan apabila Norsyafiq Sumantri menjaringkan gol keempat menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-34, dengan Azrai Aizad sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring 10 minit kemudian, diikuti Akhimullah Anuar Esook menambah gol kelima pada minit ke-52 menerusi jaringan padang.
Marhan Jalil melengkapkan kemenangan besar Malaysia dengan gol keenam hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-57, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga dalam aksi pembukaan kumpulan.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B seterusnya dijadual menentang Pakistan esok, sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan bertemu China pada Rabu ini.
Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir, manakala pemenang peringkat empat terbaik bakal berentap pada pentas final.
-- BERNAMA