Skip to main content

Malaysia

MCMC ambil tindakan penularan semula video lama babit penghinaan agama Islam

MCMC
MCMC telah menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan berkenaan yang dipercayai dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat. - Gambar/ MCMC

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula satu video lama bertarikh 2024 melibatkan insiden di Singapura yang memaparkan kandungan berunsur penghinaan terhadap agama Islam termasuk perbuatan memijak al-Quran.

MCMC menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan berkenaan yang dipercayai dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Berdasarkan siasatan awal, dipercayai individu yang terlibat merupakan seorang warga Singapura dan insiden tersebut juga dipercayai berlaku di Singapura,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, MCMC bekerjasama dengan pihak platform media sosial terlibat, khususnya Threads, Facebook dan TikTok bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan berkenaan di Malaysia.

MCMC menegaskan bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan yang berkuat kuasa.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found