Skip to main content

Malaysia

Masalah pembetungan di sekitar kawasan Likas diselesai dalam tempoh tiga bulan

71551797334_TBPembentungLikas.jpg
Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah nekad untuk menyelesaikan masalah paip pembetungan di sekitar kawasan Likas, Kota Kinabalu dalam tempoh tiga bulan ini sebagai usaha memaksimumkan perkhidmatan kepada rakyat setempat.

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata, kawasan stesen pam di sekitar Likas dilihat mempunyai beberapa masalah dari aspek pembetungan dan pihaknya kini mengambil inisiatif untuk memperbaiki permasalahan itu.

Beliau berkata, ini termasuklah usaha menyelenggara paip pembetungan dikenal pasti mempunyai keretakan di kawasan berkenaan.

"Masalah pembetungan juga di bawah Jabatan Kerja Raya dan telah melaksanakan pengukuran paip sepanjang tiga kilometer yang kita nampak pecah di dua kawasan itu.

“Ia akan di jangka siap dalam masa tiga bulan. Selepas sahaja kerja-kerja pembaikan ini siap, saya percaya masalah pembetungan di sekitar Kota Kinabalu ini akan dapat diatasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan di kawasan stesen paip pembetungan, Likas, Kota Kinabalu, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Peter berkata, pihak kementerian kini menggunakan kaedah cecair dikenali sebagai bio organisma yang diimport khas dari Amerika Syarikat untuk menangani permasalahan limpahan air pembetungan di kawasan Kota Kinabalu.

"Kita menggunakan kaedah bio organisma yang kita  tempah khas daripada Amerika Syarikat untuk membendung masalah ini supaya tidak mendatangkan kemudaratan ataupun masalah dari segi persekitaran," katanya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan  pihaknya bersedia  menambah jumlah kakitangan di 11 stesen pam di sekitar Kota Kinabalu untuk  meningkatkan perkhidmatan sedia ada.

Must Watch Video