Skip to main content

Malaysia

Kebakaran SMU Darul Ulum: PM arah tindakan segera, utamakan keselamatan pelajar

SMU Darul Ulum terbakar - FB Mija Azmiza
Pada Ahad lalu, tiga blok bangunan SMU (Arab) Darul Ulum Muhammadiah, Kolam, Pak Badol dilaporkan terbakar. - Gambar/ FB Mija Azmiza

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan segera diambil susulan insiden kebakaran yang menimpa Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Darul Ulum Muhammadiah.

Menerusi kenyataan di Facebook, beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu ujian besar buat warga sekolah berkenaan, sekali gus menuntut tindakan tuntas daripada semua pihak berkaitan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri serta agensi lain telah diarahkan untuk menyegerakan langkah susulan bagi menangani situasi tersebut.

“Keutamaan kita ketika ini adalah memastikan keselamatan pelajar dan kelancaran pembelajaran yang terjejas akibat kejadian tersebut,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan mempercepatkan penyaluran bantuan yang diperlukan serta bekerjasama rapat dengan semua pihak bagi mempercepatkan proses pemulihan.

Tambahnya, usaha itu penting bagi memastikan sekolah berkenaan dapat kembali beroperasi seperti sediakala dalam kadar segera.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa aspek keselamatan, keselesaan dan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan proses pembelajaran berjalan dengan baik.

Pada Ahad lalu, tiga blok bangunan SMU (Arab) Darul Ulum Muhammadiah, Kolam, Pak Badol dilaporkan terbakar. 

Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Mohd Khairul Fais Ariffin berkata kebakaran terbabit melibatkan bangunan jenis kekal yang mempunyai keluasan berbeza dengan satu daripadanya musnah 98 peratus,

Beliau berkata operasi pemadaman turut dibantu BBP Ketereh, BBP Pasir Tumboh serta Unit Tangki BBP Pengkalan Chepa dengan kekuatan 25 anggota, selain menggunakan dua aliran hos dan empat pancutan nozel serta sumber air daripada tangki jentera dan bekalan air.

Mohd Khairul Fais berkata api berjaya dikawal pada 4.10 petang dan operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

Must Watch Video