SEMENYIH: Malaysia perlu memperkukuh aspek kedaulatan teknologi bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik global, sekali gus memastikan negara tidak bergantung kepada pihak luar dalam situasi krisis, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.
Beliau berkata keperluan itu semakin mendesak susulan ketegangan global, gangguan rantaian bekalan serta persaingan teknologi antara kuasa besar yang boleh memberi kesan kepada akses terhadap teknologi kritikal.
“Kalau teknologi itu tidak dibangunkan oleh negara kita dan dimiliki negara lain, mungkin mereka akan memberi keutamaan kepada rakyat mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Minggu Sains Negara (MSN) 2026 di Universiti Nottingham Malaysia di sini, hari ini.
Chang berkata situasi seperti pandemik sebelum ini menunjukkan kepentingan kapasiti domestik, termasuk dalam pembangunan vaksin bagi menjamin bekalan mencukupi kepada negara ketika krisis.
Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia bukan sahaja perlu melahirkan pengguna teknologi, tetapi pencipta teknologi bagi meningkatkan daya tahan negara dalam menghadapi cabaran masa depan.
Sementara itu, Chang berkata penganjuran MSN 2026 yang menyasarkan penyertaan 1.15 juta peserta di seluruh negara bertujuan memperkukuh minat masyarakat khususnya golongan muda terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Beliau berkata program itu akan dilaksanakan secara berfasa melibatkan lima zon utama iaitu utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak, dengan pelbagai pengisian termasuk karnival sains dan program jangkauan komuniti.
“Kita masih berdepan kekurangan bakat dalam bidang STEM terutama apabila negara berjaya menarik banyak pelaburan berteknologi tinggi. Kita harap melalui program seperti ini, lebih ramai pelajar akan memilih aliran STEM dan membantu negara mencapai sasaran 60 peratus penyertaan dalam bidang itu,” katanya.
Mengenai fokus teknologi negara, Chang berkata antara bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga yang dilihat sebagai pemacu utama ekonomi masa depan.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata MSN merupakan inisiatif utama kementerian selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 untuk membudayakan sains dan menjadikannya pemacu ekonomi negara.
Chang berkata platform seperti MSN juga penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memanfaatkan teknologi baharu seperti AI, yang kini menjadi faktor pembeza utama dalam daya saing individu dan organisasi.
-- BERNAMA