Skip to main content

Malaysia

MARDI terajui kolaborasi nanas MS16, perkukuh jaminan bekalan makanan

Tanaman Nanas, KPKM, Mardi
Luqman (dua dari kiri) bersama Mohamad (pertama dari kiri) semasa melawat projek pengeluaran tanaman nanas MS16 di Mukim Padang Bongor, di Kota Bharu - Foto MARDI

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang memperluaskan kolaborasi projek tanaman nanas varieti baharu MS16 melibatkan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi memperkukuh jaminan bekalan makanan negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Luqman Ahmad, berkata langkah itu diambil susulan kejayaan projek rintis yang sedang dilaksanakan di beberapa negeri.

"Setakat ini, beberapa negeri termasuk Johor dan Selangor telah melaksanakan kolaborasi tanaman MS16 dengan hasil yang memberangsangkan. Kelantan pula menjadi negeri pertama melaksanakannya secara komersial menerusi kerjasama besar antara agensi kementerian dan NGO," katanya dalam satu kenyataan, yang dikeluarkan MARDI selepas melawat projek pengeluaran nanas MS16 di Mukim Padang Bongor, Kota Bharu hari ini.

Menurut beliau, projek itu melibatkan kawasan seluas tujuh hektar dengan lebih 10,000 pokok nanas MS16 telah ditanam di beberapa negeri, sekali gus berpotensi membantu memastikan bekalan makanan negara lebih terjamin.

Luqman berkata walaupun nanas mengambil masa kira-kira setahun untuk dituai, projek berkenaan turut disokong tanaman jangka pendek seperti keledek yang boleh dituai dalam tempoh sekitar tiga bulan bagi menjana pendapatan awal peserta.

"Nanas merupakan antara tanaman strategik yang ingin kita majukan, namun keledek ditanam sebagai sokongan kerana boleh dituai beberapa kali setahun," katanya.

Beliau menjelaskan projek di Kelantan merupakan projek perintis berskala komersial pertama bagi varieti MS16 di negeri itu dan dijangka mula dituai hujung tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata harga nanas MS16 di peringkat tempatan dianggarkan sekitar RM3.50 sekilogram, manakala harga runcit boleh mencecah RM10 hingga RM15 sekilogram bergantung kepada saiz dan kualiti.

"Berat sebiji nanas MS16 antara 1.5 hingga 2.5 kilogram, membuktikan kita mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi tanpa terlalu bergantung kepada import.

"MARDI akan terus memperkenalkan varieti baharu dari semasa ke semasa dan saya yakin lebih banyak agensi akan menyertai inisiatif ini," ujarnya.

Beliau menegaskan pembangunan varieti baharu seperti MS16 adalah sebahagian daripada usaha kementerian meningkatkan daya saing sektor pertanian tempatan serta menjamin keterjaminan makanan negara.
 

Must Watch Video