CEBU (FILIPINA): Malaysia dan Vietnam komited untuk memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Vietnam Le Minh Hung, Anwar berkata mereka berdua menzahirkan komitmen untuk memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), STEM, keselamatan makanan, tenaga boleh baharu serta tadbir urus kewangan yang lebih mampan dan progresif.
“Malaysia juga menyambut baik pemeteraian pelbagai inisiatif strategik termasuk memorandum persefahaman (MoU) Ekonomi Digital dan pelaksanaan projek tenaga rentas sempadan yang mampu mendukung pertumbuhan serantau,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia dan Vietnam akan terus memperkukuhkan hubungan persahabatan yang kini dipacu melalui Kerjasama Strategik Komprehensif, merupakan satu-satunya seumpamanya antara Malaysia dan negara anggota ASEAN, mencerminkan tingkat kepercayaan serta kesepaduan yang tinggi.
“ASEAN harus terus bergerak sebagai wahana kerjasama yang berteraskan keyakinan, kemampanan dan kemajuan bersama. Dalam dunia yang semakin mencabar, kekuatan rantau ini bergantung kepada kesediaan kita memperkukuh jaringan ekonomi, pendidikan, teknologi dan kesejahteraan rakyat secara kolektif,” katanya.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di sini yang berlangsung dari 7 hingga 8 Mei.
-- BERNAMA