KUALA LUMPUR: Pelajar dari Uzbekistan, Abdullayeva Madinabonu Nizomiddin Qizi dinobatkan sebagai johan kategori antarabangsa Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2026, yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini, malam tadi.
Pelajar Tashkent State University of Oriental Studies berusia 20 tahun itu, melakar sejarah apabila menghadiahkan kemenangan kali keempat buat Uzbekistan pada pertandingan berprestij berkenaan.
“Saya sangat gembira, Alhamdulillah. Saya menjadi johan kali keempat untuk Uzbekistan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Abdullayeva berkata, perasaan gemuruh sebelum berpidato, hampir menyebabkan beliau terlupa teks pidatonya, namun berjaya mengawal keadaan sehingga dinobatkan sebagai juara.
Mengulas persediaannya, Abdullayeva berkata, beliau mula menjalani latihan sejak dua bulan lepas bagi memperkemas sebutan dan gaya penyampaian pidatonya.
Tempat kedua kategori antarabangsa dimenangi Sergei Ermakov daripada Lomonosov Moscow State University, Rusia, manakala tempat ketiga menjadi milik Qiu Ziyi daripada Beijing Foreign Studies University, China.
Bagi kategori Alam Melayu, johan disandang Aiena Batrisyia Sulaiman daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sementara Mohamad Iqbal Sopian Saputra daripada Universiti Tanjungpura, Indonesia muncul naib johan dan tempat ketiga dimenangi Khairul Nur Ayuni Rodzan Khairul daripada Universiti Malaya.
Kategori Antarabangsa di Malaysia pula, menyaksikan Amna Masood dari Pakistan yang menuntut di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dinobatkan sebagai johan.
Tempat kedua dimenangi Aisyah Hikmah dari Burundi yang menuntut di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), manakala tempat ketiga menjadi milik Amr Ibrahim Yusuf dari Mesir, yang menuntut di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Johan bagi setiap kategori membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM10,000 serta sijil penghargaan.
Naib johan menerima wang tunai RM8,000 berserta sijil penghargaan, manakala pemenang tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.
Bertemakan “Bahasa Melayu: Jambatan Peradaban Global”, penganjuran kali ke-16 ini menjadi platform penting dalam memperluas penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, komunikasi dan diplomasi yang merentasi sempadan budaya serta tamadun dunia.
Sebanyak 174 penyertaan dari 21 negara termasuk Malaysia, diterima bagi edisi kali ini. Daripada jumlah tersebut, 99 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat saringan sebelum 50 peserta terbaik dipilih untuk bertanding pada peringkat pusingan awal.
Majlis kemuncak PABM 2026 telah disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Zambry berkata, Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya wahana pemikiran dan jambatan peradaban yang perlu terus diperkasa dalam menghadapi era kecerdasan buatan (AI) dan ledakan maklumat masa kini.
Beliau berkata, sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca yang menyatukan rantau ini dan bahasa juga tidak boleh dipisahkan daripada adab serta pembinaan tamadun.
“Bahasa tidak boleh dipisahkan daripada adab. Bahasa yang baik melahirkan pemikiran yang tertib. Pemikiran yang tertib melahirkan tamadun yang bermaruah,” katanya secara dalam talian.
-- BERNAMA