MELAKA: Program Hasrat MADANI akan diteruskan ke pelbagai lokasi di seluruh negara sebagai platform penyatuan masyarakat menerusi pelbagai pengisian aktiviti komuniti termasuk tayangan wayang pacak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program berbentuk santai dan mesra rakyat itu akan diperkasakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) serta Jabatan Penerangan Malaysia.
“Kita baru buat beberapa program dan nanti kita akan teliti bagaimana cara untuk dipertingkat, mungkin di lebih banyak kawasan.
"Namun, ia bergantung kepada unit-unit bergerak di bawah Jabatan Penerangan... kita tengok bagaimana hendak gerakkan walaupun unit itu tidak banyak tetapi ia ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hasrat MADANI di Taman Bachang Baru, Batu Berendam, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim dan pelakon Nas-T.
Fahmi berkata, program sama sebelum ini turut dilaksanakan di Sabah dan Pulau Pinang serta mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat walaupun diadakan dalam suasana sederhana.
Beliau berkata, aktiviti wayang pacak dengan tayangan filem terpilih berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur untuk beriadah bersama-sama sambil mengeratkan hubungan komuniti.
“Kita mahu program komuniti seperti ini diperbanyak di negara kita sendiri dan dibawa ke lebih banyak kawasan dengan menggunakan prasarana sedia ada termasuk unit bergerak Jabatan Penerangan.
"Kita juga datangkan artis-artis dan ini peluang baik untuk masyarakat beramah mesra dengan mereka sambil menonton filem-filem yang diberi sokongan melalui tayangan seperti ini,” katanya.
Pada program yang bermula sekitar 9 malam itu, hampir 100 penduduk pelbagai bangsa dan umur hadir menyaksikan tayangan filem secara terbuka walaupun keadaan cuaca hujan renyai.
Selain tayangan filem, kempen kesedaran Internet selamat turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai bahaya penipuan dalam talian dan aktiviti scammer.
-- BERNAMA