Skip to main content

Malaysia

Malaysia utamakan keperluan bahan api domestik sebelum bekal kepada Australia - PM Anwar

Australian Prime Minister Anthony Albanese speaks next to Malaysian Prime Minister Anwar Ibrahim during a press conference in Putrajaya, Malaysia, Thursday, April 16, 2026. Vincent Thian/Pool via REUTERS
Anwar (kanan) bercakap pada sidang media bersama rakan sejawatnya Anthony Albanese di sini hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia akan mengutamakan keperluan bahan api domestik sebelum membekalkan sebarang lebihan kepada Australia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah mendapat jaminan daripada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bahawa bekalan berkenaan mencukupi untuk penggunaan dalam negara manakala sebarang lebihan akan disalurkan kepada rakan yang boleh dipercayai seperti Australia.

“Keutamaan, sudah tentunya ialah memenuhi keperluan domestik serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” kata Anwar pada sidang media bersama rakan sejawatnya Anthony Albanese di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata pengaturan sedemikian mencerminkan betapa pentingnya rundingan dan persefahaman bersama antara negara rakan, khususnya apabila kedua-dua negara saling bergantung antara satu sama lain untuk sumber strategik.

Anwar berkata Malaysia mengimport gas termasuk gas asli cecair (LNG) dari Australia, yang telah mengulangi komitmennya untuk mematuhi perjanjian bekalan sedia ada manakala Malaysia pula akan memastikan keperluan Australa dipenuhi setelah keperluan dalam negara terlebih dahulu.

"Itulah erti persahabatan,” kata beliau sambil menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai perkongsian seimbang yang berasaskan kepercayaan serta komitmen bersama.

Anwar turut menekankan Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dengan pelbagai rakan antarabangsa, di samping memastikan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Beliau berkata negara ini mengekalkan hubungan ekonomi yang pelbagai dengan pemain utama global, sambil menegaskan Amerika Syarikat kekal sebagai sumber terbesar perdagangan dan pelaburan Malaysia, meskipun Kuala Lumpur terus menjalin hubungan dua hala yang konstruktif dengan negara lain termasuk Rusia. 

“Kami sebagai sebuah negara telah menjalin hubungan dengan lebih banyak negara. Perdagangan dan pelaburan terbesar masih dari Amerika Syarikat walaupun kami mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan Rusia serta turut menjalankan perdagangan dengan negara itu,” kata beliau.

Anwar berkata dalam persekitaran global yang semakin kompleks, Malaysia perlu mengurus hubungan antarabangsanya dengan berhati-hati bagi memastikan kestabilan ekonomi serta melindungi kepentingan negara.

“Keutamaan saya, mandat yang saya pegang, adalah untuk melindungi kepentingan rakyat di negara ini,” kata beliau.

 -- BERNAMA 

Must Watch Video