Skip to main content

Malaysia

Malaysia tidak berisiko alami 'bankrap air'

KUCHING, 14 Mac -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal di Pusat Khidmat ADUN N7 Semariang, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadillah berkata cabaran sebenar negara ketika ini tertumpu kepada aspek pengurusan sumber air secara bersepadu, perlindungan kawasan tadahan serta kecekapan sistem penyampaian. - Gambar fail/ BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berada dalam kategori negara yang berisiko mengalami 'bankrap air' seperti dibimbangkan di peringkat global, sebaliknya masih mempunyai sumber air mentah yang mencukupi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata cabaran sebenar negara ketika ini tertumpu kepada aspek pengurusan sumber air secara bersepadu, perlindungan kawasan tadahan serta kecekapan sistem penyampaian.

Beliau berkata Malaysia menerima purata lebih 2,500 milimeter hujan setahun dengan anggaran sumber air boleh diperbaharui melebihi 580 bilion meter padu setahun, sekali gus menunjukkan negara tidak berdepan kekurangan air secara fizikal.

"Cabaran utama negara bukan kekurangan air, tetapi bagaimana kita mengurus, melindungi dan mengoptimumkan sumber air secara strategik bagi menjamin sekuriti serta kelestarian bekalan air jangka panjang.

"Malaysia bukan negara yang akan mengalami 'bankrap air', namun tanpa transformasi pengurusan menyeluruh, tekanan bekalan boleh berlaku di beberapa kawasan menjelang 2030," katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Beliau mengulas demikian susulan laporan sebuah media tempatan yang memetik seorang pakar kualiti air dan permodelan kualiti air, menyarankan supaya kerajaan melalui PETRA merangka pelan strategik bagi mengatasi risiko situasi 'kebankrapan air global'.

Pakar berkenaan berkata, istilah bankrap air bukan sekadar merujuk kepada kekurangan sumber air semata-mata, sebaliknya turut membabitkan aspek kualiti air yang semakin terjejas akibat pencemaran.

Media berkenaan turut melaporkan Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-INWEH) memberi amaran bahawa dunia sedang memasuki era 'kebankrapan air global'.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata antara isu utama yang perlu diberi perhatian termasuk pengurusan storan air secara pelbagai, pencerobohan kawasan tadahan, pencemaran sungai serta kekurangan integrasi sumber air alternatif seperti air bawah tanah, air kitar semula dan sistem penuaian air hujan.

Katanya, simpanan aktif empangan ketika ini mampu menampung bekalan air sehingga 90 hari, namun kadar Air Tidak Terhasil (NRW) nasional masih tinggi iaitu sekitar 34.3 peratus, bersamaan kira-kira 6,000 juta liter sehari air terawat yang hilang.

"Jika kadar NRW dapat dikurangkan kepada 25 peratus, negara berpotensi menjimatkan kira-kira dua billion liter sehari tanpa perlu membina loji rawatan baharu," katanya.

Beliau berkata permintaan air negara dijangka meningkat daripada kira-kira 19,372 juta liter sehari pada 2025 kepada lebih 25,000 juta liter sehari menjelang 2030, sekali gus memerlukan perancangan sumber air baharu yang lebih strategik.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kira-kira 30 peratus daripada 2,986 lembangan sungai utama negara kini berdepan tekanan pencemaran sederhana hingga serius akibat aktiviti industri dan guna tanah tidak terkawal.

Sehubungan itu, kerajaan akan mempercepat pelaksanaan pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM), selain memperkukuh strategi storan air melalui pembinaan takungan baharu, peningkatan kapasiti empangan serta pemetaan sumber air bawah tanah secara sistematik.

Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan melalui pembangunan hab digital sektor air peringkat kebangsaan dalam masa terdekat.

"Pendekatan pembiayaan baharu termasuk kerjasama awam-swasta dan pembiayaan berasaskan prestasi juga akan diperluas bagi mempercepat projek pengurangan NRW dan pembangunan sumber air alternatif," ujarnya.

Selain itu, program komunikasi awam akan dipergiat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan air, memandangkan penggunaan domestik rakyat Malaysia masih sekitar 225 liter seorang sehari, melebihi sasaran mampan 165 liter yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, selaras aspirasi Malaysia MADANI, pelaksanaan strategi di bawah kerangka AIR 2040 diyakini mampu menjamin keselamatan air negara serta meletakkan Malaysia sebagai hab kecemerlangan sektor air serantau menjelang 2040.

Must Watch Video