Skip to main content

Malaysia

Malaysia rekod kes rasisme tertinggi dalam tempoh 11 tahun pada 2025 - Pusat KOMAS

kOMAS RACISM
Timbalan Menteri Perpaduan, R. Yuneswaran (depan, lima dari kiri), turut hadir pada Majlis Pelancaran Laporan Rasisme Malaysia 2025, edisi ke-11 penerbitan tahunan Pusat KOMAS di sini, pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan sebanyak 107 kes perkauman sepanjang tahun 2025, angka tertinggi pernah direkodkan sejak inisiatif pemantauan oleh Pusat KOMAS yang dimulakan 11 tahun lalu.

Menerusi Laporan Rasisme Malaysia 2025 yang dikeluarkan pada Isnin, pertubuhan hak asasi manusia bukan kerajaan itu mendedahkan, Dewan Rakyat kekal menjadi penyumbang terbesar insiden tersebut bagi tahun kedua berturut-turut, membabitkan 43 kes atau 40.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Pusat KOMAS menjelaskan, kekerapan insiden di Parlimen dikesan dengan lebih mudah berikutan segala prosiding didokumenkan secara rasmi melalui Hansard, sekali gus memudahkan proses pengenalpastian dan pengesahan kenyataan berbaur perkauman.

Berdasarkan pecahan kategori di Parlimen, subkategori 'Racial Majoritarianism' dan Politik Artikel 153 mencatatkan jumlah tertinggi dengan 18 kes (16.8 peratus), diikuti oleh retorik Xenofobia sebanyak sembilan kes (8.4 peratus).

Racial Majoritarianism' merujuk kepada politik yang menekankan kuasa atau keistimewaan kumpulan majoriti etnik dalam sesebuah negara.

Politik Artikel 153 pula merujuk kepada penggunaan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dalam wacana politik sama ada untuk mempertahankan, menuntut, atau menafsirkan hak istimewa Melayu atau bumiputera dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Lain-lain insiden di Parlimen turut melibatkan retorik agama dan politik ketakutan (lapan kes), isu bahasa dan pengecualian (enam kes), manakala penggunaan isu Palestin serta rumah ibadat masing-masing mencatatkan satu kes.

Sementara itu, bagi insiden di luar Parlimen, kategori Prasangka dan Provokasi mendominasi dengan 17 kes (15.9 peratus), mengatasi kategori diskriminasi agama yang mencatatkan 10 kes (9.3 peratus).

"Dapatan ini menunjukkan bahawa bias interpersonal (berat sebelah dalam interaksi antara individu), stereotaip, dan tingkah laku diskriminasi kekal sebagai bentuk paling lazim dalam ketegangan kaum dan agama dalam kalangan masyarakat," menurut laporan itu lagi.

Selain itu, sektor perniagaan dan tempat kerja serta kategori politik masing-masing merekodkan lapan kes (7.5 peratus), diikuti sektor pendidikan dengan enam kes (5.7 peratus).

Isu berkaitan Xenofobia pula menyumbang sebanyak lima kes (4.7 peratus), manakala kategori polisi dan perumahan/sewaan masing-masing mencatatkan tiga kes (2.8 peratus).

Sementara itu, kategori paling kecil melibatkan hasutan dan lain-lain dengan masing-masing merekodkan dua kes (1.9 peratus).

Pusat KOMAS menegaskan bahawa trend peningkatan itu membuktikan ketegangan kaum dan agama terus wujud dalam pelbagai ruang wacana awam di Malaysia, merangkumi interaksi sosial harian hingga ke peringkat pembuat dasar.

Sehubungan itu, pihak berkuasa dan masyarakat sivil digesa untuk memperkukuh usaha menangani retorik perkauman serta diskriminasi yang dilihat semakin menonjol dalam landskap politik dan kehidupan sosial negara ketika ini.

Must Watch Video