PUTRAJAYA: Kerajaan berdepan cabaran besar untuk mempersiapkan rakyat menghadapi kemungkinan kesan konflik global terhadap bekalan tenaga, tanpa mencetuskan panik atau sikap sambil lewa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan paling sukar ketika ini adalah mengimbangi mesej kepada rakyat supaya bersikap realistik dan telus, namun pada masa sama tidak menimbulkan kegusaran berlebihan.
Menurut beliau, kerajaan tidak mahu rakyat berada dalam keadaan panik, tetapi juga tidak mahu wujud sindrom penafian seolah-olah situasi global semasa tidak akan memberi kesan kepada negara.
“Cabaran utama kepada kerajaan ialah bagaimana kita mahu mempersiapkan rakyat untuk menerima hakikat bahawa kesannya akan dirasai, tetapi dalam masa sama kita tidak mahu rakyat panik.
“Pada masa sama juga, kita tidak mahu rakyat menjadi complacent (leka),” katanya ketika berucap sempena Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada Isnin.
Beliau mengakui keadaan semasa memerlukan pendekatan komunikasi yang amat berhati-hati kerana kerajaan tidak boleh dilihat mengambil sikap biasa atau business as usual ketika risiko gangguan bekalan tenaga semakin meningkat.
Tambah beliau, pendekatan paling sesuai ketika ini adalah bersikap berterus terang dengan berkongsi maklumat sebenar berkaitan cabaran bekalan serta kemungkinan kenaikan harga pada masa hadapan.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, asas pertama yang kita letakkan ialah memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat supaya impaknya tidak terlalu dirasai oleh masyarakat.
“Impak apa? Kenaikan harga minyak, gangguan atau putus bekalan. Yang kedua ialah memastikan kestabilan ekonomi. Sebab itu pendekatan yang kita ambil adalah pendekatan berterus terang dengan berkongsi maklumat,” katanya.
Dalam masa sama, Saifuddin menegaskan kerajaan tidak akan mengambil sikap menafikan risiko atau memandang ringan situasi semasa, sebaliknya berusaha memastikan rakyat bersedia secara berperingkat menghadapi sebarang kemungkinan.