Skip to main content

Malaysia

Pemandu bas pangku wanita ketika memandu disiasat - JPJ

Sumber: FOTO TULAR
Tangkap layar rakaman video tular pemandu bas ekspres memangku wanita ketika kenderaan sedang bergerak. - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenal pasti pemandu bas yang tular mengendalikan kenderaan itu dengan memangku wanita di atas riba.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan siasatan segera diambil sebaik video berkenaan mula tular.

“Pemandu terlibat serta syarikat bas telah dikenal pasti.

“Pemandu berkenaan telah dipanggil untuk dirakam keterangan pagi ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ untuk arahan lanjut sebaik siasatan selesai.

Muhammad Kifli turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu agar tampil membantu dengan menghubungi pejabat JPJ berhampiran.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya, khususnya pengendali kenderaan komersial, supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas.

“Pemandu diingatkan untuk memberi tumpuan penuh semasa pemanduan, usah melakukan perkara yang boleh mengundang kemalangan jalan raya.

"Kepada pemilik syarikat, pastikan pemandu yang dipilih dan dilantik ialah pemandu kompeten, tiada kesalahan lalu lintas serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) dalam bas untuk memantau pemandu dan tingkah laku penumpang.

“Ini penting bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya serta mengelakkan kejadian yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Menerusi rakaman video tular itu, wanita berkenaan dilihat memegang stereng sambil duduk di riba pemandu ketika bas sedang bergerak.

Berdasarkan perkongsian di Facebook, bas ekspres itu dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kulai, Johor, ketika kejadian dirakam. - Sinar Harian

 

Must Watch Video