Skip to main content

Dunia

Korea Selatan, India setuju kerjasama rantaian bekalan tenaga susulan perang Asia Barat

modi jae-myung_REUTERS
Kedua-dua pemimpin memberi tumpuan kepada usaha memperluas perdagangan dan pelaburan, selain meneroka peluang baharu dalam sektor mineral kritikal, tenaga, kecerdasan buatan (AI), kewangan dan pembinaan kapal. - Reuters

NEW DELHI: Presiden Lee Jae Myung berkata beliau dan Perdana Menteri India Narendra Modi bersetuju pada Isnin untuk bekerjasama dalam menstabilkan rantaian bekalan tenaga bagi menangani ketidaktentuan akibat perang di Asia Barat, lapor Agensi Berita Yonhap.

Memperincikan hasil pertemuan bersama Modi di New Delhi, Lee berkata kedua-dua pemimpin memberi tumpuan kepada usaha memperluas perdagangan dan pelaburan, selain meneroka peluang baharu dalam sektor mineral kritikal, tenaga, kecerdasan buatan (AI), kewangan dan pembinaan kapal.

"Mengambil kira perkembangan terkini di Asia Barat, kami akan terus memperkukuh kerjasama dua hala bagi memastikan bekalan sumber tenaga dan bahan mentah utama yang stabil, termasuk nafta," kata Lee dalam satu pengumuman akhbar bersama.

Nafta merupakan bahan mentah utama bagi industri petrokimia, dan Korea Selatan mengimport sebahagian besar bahan itu dari Asia Barat melalui Selat Hormuz yang kini ditutup susulan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran.

Modi turut senada dengan menyatakan bahawa India akan memperkukuh kerjasama dalam teknologi utama dan rantaian bekalan dengan Korea Selatan bagi mempromosikan kemakmuran bersama kedua-dua negara.

Lee berkata kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mengekalkan penyelarasan rapat mengenai keamanan serantau dan isu global di tengah-tengah kedinamikan dunia yang sedang berubah.

"Kami bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini di Asia Barat dan sependapat bahawa memulihkan keamanan serta kestabilan di rantau itu adalah penting bagi keselamatan dan ekonomi global," katanya.

-- BERNAMA-YONHAP

Must Watch Video