KUALA LUMPUR: Harga bekalan makanan dan keperluan hasil pertanian negara kekal stabil meskipun berlaku kenaikan harga diesel ketika ini, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri.
Beliau berkata situasi semasa menunjukkan tiada gangguan ketara terhadap rantaian bekalan makanan susulan langkah kerajaan menyalurkan subsidi diesel kepada petani dan pengedar yang mencukupi untuk menampung kos operasi.
“Sebenarnya dalam tempoh sekarang kenaikan diesel tidak memberi kesan yang ketara, harga masih stabil dan bekalan juga mencukupi,” katanya pada program Jualan Agro MADANI (JAM) Edisi Johor di pekarangan Ibu Pejabat FAMA di sini hari ini.
Beliau berkata FAMA bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sentiasa memantau kestabilan bekalan dan harga barangan.
“Sehingga minggu lepas, bekalan makanan masih stabil dan tidak menunjukkan kesan ketara. Kami terus memantau dengan teliti perkembangan harga dan bekalan,” katanya.
Abdul Rashid turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan makanan adalah mencukupi, selain menafikan isu beras yang tular di Sabah.
Beliau ketika mengulas mengenai tekanan kos global terhadap harga makanan berkata program seperti JAM membantu mengekalkan harga lebih rendah antara 10 hingga 30 peratus berbanding pasaran melalui penjualan terus daripada pengeluar kepada pengguna tanpa menerusi orang tengah.
Selain itu, program Ladang Kontrak turut memainkan peranan penting dalam menstabilkan harga hasil pertanian di samping memastikan petani mendapat pulangan sewajarnya.
“Menerusi program ini, kami menetapkan harga lantai. Jika harga pasaran jatuh, FAMA akan membeli pada harga lebih tinggi bagi memastikan petani terus berdaya maju dan bekalan tidak terjejas,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata FAMA menerima peruntukan baharu daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi meneruskan pelaksanaan program JAM tahun ini, dengan tempoh penganjuran bermula April hingga Disember.
“Secara keseluruhan, kami menyasarkan sebanyak 5,000 penganjuran JAM di seluruh negara, dengan FAMA sendiri melaksanakan 3,500 program,” katanya.
Program JAM Edisi Johor bertemakan “Kerja Kahwin Johor” melibatkan 30 usahawan dengan pelbagai produk seperti ayam, daging, hasil laut, sayur-sayuran dan buah-buahan manakala pengunjung menikmati penjimatan termasuk tawaran Happy Hour Set Kombo MADANI serendah RM5.
Program berkenaan turut menyasarkan 2,000 pengunjung dengan nilai jualan RM100,000 dan penjimatan sekitar RM30,000 serta usahawan pula dijangka meraih tambahan pendapatan RM3,000 hingga RM5,000 setiap seorang.
Sejak diperkenalkan pada Januari tahun lepas, JAM sudah mencatatkan jualan terkumpul kira-kira RM2.059 juta setakat Mac 2026.
-- BERNAMA