Skip to main content

Malaysia

Malaysia kecam perancangan Israel ambil alih Gaza secara ketenteraan

81756179258_HajiMohamad.jpg
KUALA LUMPUR : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya perancangan Israel untuk mengambil alih Gaza secara ketenteraan yang disifatkan sebagai usaha menjajah wilayah Palestin secara kekal.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyatakan pendirian itu ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi, pada 25 Ogos.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Mohamad Hassan menzahirkan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, termasuk peningkatan kadar kematian serta pengisytiharan kebuluran oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri. Negara-negara anggota OIC perlu terus lantang bersuara dan bertindak tegas bagi mencapai keamanan serta keadilan untuk Palestin,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut menerima pakai resolusi bertajuk “The 21st Extraordinary Session of the Council of Foreign Ministers of the Member States of the Organisation of Islamic Cooperation to Consider the Continuing Israeli Aggression Against the Palestinian People”.

Di sela-sela mesyuarat itu, Mohamad turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Algeria, Iran, Kuwait, Mesir, Pakistan dan Qatar bagi membincangkan pengukuhan hubungan dua hala serta perkembangan terkini berhubung situasi di Palestin.





Must Watch Video