Skip to main content

Malaysia

Mahkamah teruskan perbicaraan kes Muhyiddin

Datuk Amer Hamzah,salah guna kuasa -- ASTRO AWANI
Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad dan Datuk Hisyam di mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes salah guna kedudukan berkaitan program Jana Wibawa antara enam dan tujuh tahun lalu akan diteruskan seperti biasa.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad menegaskan bahawa beberapa bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan, termasuk rakaman video daripada akaun TikTok, masih belum dibuktikan kerelevanannya dalam kes tersebut.

Beliau menambah, video itu dipercayai telah diubah suai dan diedit sebelum digunakan dalam siasatan.

"Rakaman atau video yang diperoleh atau dimuat turun adalah daripada akaun TikTok. Pada masa ini mereka masih belum boleh membuktikan kesahihan video TikTok itu.

"Jelas sekali apa yang telah dibuktikan melalui siasatan bahawa video itu telah disunting dan diubah suai. Meskipun begitu, saksi mengakui bahawa mereka memutuskan untuk menggunakannya sebagai sebahagian daripada siasatan mereka dan sebahagian daripada kes.

"Sejujurnya, rakaman video itu langsung tidak bernilai untuk dijadikan bukti dan saya fikir ia adalah hari yang menyedihkan jika ia bergantung pada kandungan TikTok sebagai sebahagian daripada bukti mereka," katanya ditemui media di Mahkamah Tinggi pada Isnin.

Selain itu, Datuk Hisyam Teh Pok Teik turut mengemukakan bantahan terhadap pertuduhan yang dikenakan, khususnya tuduhan penyalahgunaan kuasa, dengan menyatakan pertuduhan tersebut kabur dan tiada butiran jelas diberikan berbanding kes-kes lain.

"Perbicaraan akan diteruskan dengan penyerahan hujah oleh pihak pembelaan dan pendakwaan, bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan mengenai kesahihan bukti dan pertuduhan yang dikenakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Muhyiddin, 79, didakwa pada 2023 atas tujuh pertuduhan yang merangkumi empat dakwaan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan program Jana Wibawa.

Beliau dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi pihak Bersatu daripada syarikat Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd serta seorang individu, Azman Yusoff.

Suapan yang didakwa itu dikaitkan dengan pelaksanaan Jana Wibawa, iaitu inisiatif kerajaan yang diperkenalkan semasa pandemik COVID-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera meneruskan perniagaan.

Selain itu, Muhyiddin turut menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity sebelum dimasukkan ke dalam akaun BERSATU di AmBank dan CIMB Bank.

Must Watch Video