SANDAKAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan mengisytiharkan lokasi tanah runtuh pagi tadi sebagai kawasan bencana.
Pengerusinya Walter Kenson yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan berkata pengisytiharan pada 10 pagi dibuat berdasarkan laporan agensi jawatankuasa selepas pemeriksaan di kawasan terlibat.
Beliau berkata sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Masyarakat Bandar Sandakan pada 12 tengah hari.
“PPS telah diaktifkan setelah pemeriksaan kawasan tanah runtuh dan Bangunan Blok 10, lebuh empat pusat bandar Sandakan didapati tidak selamat untuk didiami buat sementara waktu sehingga pemeriksaan lanjut dilakukan dan disahkan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu seorang lelaki warga emas Agustine Frederick J Lingam, 76, dilaporkan maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah di belakang sebuah hotel di bandar Sandakan ketika cuba menghidupkan generator.
Mangsa mahu menghidupkan generator susulan gangguan bekalan elektrik di hotel itu yang berlaku semasa hujan lebat.
-- BERNAMA