Skip to main content

Malaysia

Lelaki ditemukan lemas, adik masih hilang

https://www.sinarharian.com.my/article/780172/berita/semasa/lelaki-ditemukan-lemas-adik-hilang
Mangsa pertama ditemukan pasukan bomba di Sungai Malangkap, Kota Belud. -Foto Sinar Harian

KOTA BELUD: Seorang lelaki ditemukan lemas manakala adiknya masih hilang ketika mandi di Sungai Malangkap, di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Zul Hakim Abdullah, 23, ditemukan pasukan bomba manakala adiknya, Daniel, 18, dipercayai dibawa arus dan masih hilang.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.26 pagi.

Katanya, seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari BBP Kota Belud.

"Sebaik tiba di lokasi, terdapat dua mangsa dipercayai lemas dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di pesisir sungai menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

"Mangsa pertama berjaya ditemui pada jam 10.18 pagi pada jarak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi SAR bagi mengesan seorang lagi mangsa masih diteruskan oleh pasukan bomba di sekitar lokasi kejadian dalam radius satu kilometer.

"Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video