KUALA LUMPUR: Lapan kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air ketika berada di Sungai Menson, Perkampungan Orang Asli Kampung Terisu, Kuala Terla, Cameron Highlands pada Rabu petang.
Penolong Pengarah Bahagian Oprasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, insiden tersebut berlaku apabila arus sungai tiba-tiba menjadi deras hingga menyukarkan kumpulan kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun itu untuk kembali ke tebing.
"Mereka dilaporkan cuba menyeberangi sungai sebelum situasi berubah menjadi berbahaya akibat aliran air yang meningkat dengan pantas hingga menyebabkan kesemua mangsa terpaksa berlindung di atas sebuah batu besar di tengah sungai bagi mengelak dihanyutkan arus.
"Pihak (JBPM) Pahang menerima maklumat awal mengenai insiden berkenaan sekitar jam 5.10 petang," katanya.
Mohd Salahuddin berkata, panggilan kecemasan diterima selepas orang awam menyedari keadaan mangsa yang terperangkap.
Menurut beliau, jarak antara tebing sungai dan lokasi mangsa dianggarkan kira-kira 20 meter, sekali gus menyukarkan usaha awal untuk menyeberang secara terus.
Sejurus menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands segera digerakkan ke lokasi kejadian.
"Pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian sekitar jam 5.47 petang dan mendapati kesemua kanak-kanak masih berada di atas batu dalam keadaan cemas.
"Operasi menyelamat kemudiannya dijalankan dengan menggunakan teknik tali keselamatan bagi memastikan mangsa dapat dipindahkan dengan selamat. Keadaan arus yang deras memerlukan anggota bomba mengambil langkah berhati-hati sepanjang operasi dijalankan.
"Operasi turut menerima bantuan daripada BBP Ringlet serta pihak polis yang berada di lokasi bagi mengawal keadaan," jelasnya.
Selepas usaha berterusan selama kira-kira dua jam, kesemua lapan kanak-kanak berjaya dibawa keluar dari kawasan sungai.
Semua mangsa berjaya diselamatkan sekitar jam 7.58 malam tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan.
Beliau turut menegaskan bahawa mangsa seterusnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dikembalikan kepada keluarga masing-masing.
Operasi menyelamat ditamatkan selepas keadaan disahkan terkawal dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat.