BANGKOK: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerima pengiktirafan daripada Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) pada majlis Anugerah Akreditasi Karbon Lapangan Terbang (ACA) di sini.
Pada majlis itu juga, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching memperoleh akreditasi Tahap 1 ACA atas usaha pengurusan karbon mereka.
Akreditasi tersebut mengiktiraf lapangan terbang yang melaksanakan jejak karbon yang disahkan dan menunjukkan komitmen terhadap pengurusan serta pelaporan karbon aktif.
Pengiktirafan terbaharu itu merupakan susulan akreditasi Tahap 1 ACA yang diperoleh Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini memegang akreditasi Tahap 3 ACA.
Pencapaian itu mencerminkan inisiatif kemampanan dan penyahkarbonan yang dilaksanakan oleh MAHB di seluruh rangkaian lapangan terbangnya, termasuk langkah kecekapan tenaga serta pemantauan pelepasan karbon yang berterusan.
Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) Kamaruzzaman Razali menerima anugerah tersebut pada Perhimpunan, Persidangan dan Pameran Serantau ACI Asia Pasifik dan Asia Barat.
Berlangsung dari 12 hingga 14 Mei, persidangan selama tiga hari itu mengumpul kira-kira 500 pemimpin industri penerbangan, pembuat dasar, pengendali lapangan terbang dan pihak berkepentingan dari seluruh rantau Asia Pasifik serta Asia Barat.
Ia bertujuan membincangkan isu utama yang membentuk masa depan sektor penerbangan, termasuk kemampanan, pembangunan lapangan terbang serta daya tahan operasi.
Menurut MAHB, pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusannya untuk mengurangkan pelepasan karbon merentasi operasi lapangan terbang, sambil melaksanakan inisiatif kemampanan jangka panjang, yang sejajar dengan sasaran penerbangan global dan keperluan akreditasi karbon ACI.
“Pengiktirafan ini menggariskan tadbir urus MAHB yang kukuh dan hala tuju kemampanan jangka panjangnya dalam menyokong aspirasi rendah karbon Malaysia, sambil megukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam operasi lapangan terbang yang mampan,” kata pengendali lapangan terbang itu.
Program ACA merupakan inisiatif diiktiraf di peringkat global oleh ACI yang menilai dan mengiktiraf usaha lapangan terbang dalam pengurusan karbon dan pengurangan pelepasan.
MAHB berkata pengiktirafan itu turut mengukuhkan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya (ESG) bagi mencapai aspirasi sifar bersih sambil mengimbangi pertumbuhan lapangan terbang dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan oleh pengendali lapangan terbang ialah penggunaan sistem fotovoltaik solar di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi mengurangkan pergantungan terhadap sumber tenaga konvensional dan pelepasan karbon operasi yang lebih rendah.
MAHB turut melaksanakan pelbagai langkah kecekapan tenaga di seluruh rangkaian lapangan terbangnya, termasuk penggantian sistem lampu konvensional dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) yang cekap tenaga.
Pada masa sama, kumpulan itu berkata ia sentiasa memantau dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau merentasi operasi lapangan terbang sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan prestasi alam sekitar dan mengukuhkan ketelusan dalam pelaporan kemampanan.
Selain itu, bagi memperkasakan lagi agenda kemampanan jangka panjangnya, MAHB telah membangunkan Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan yang komprehensif, bertujuan membimbing strategi pengurangan karbonnya dan menyokong matlamat pembangunan rendah karbon Malaysia yang lebih meluas.
Pelan hala tuju itu menggariskan langkah-langkah bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan penggunaan tenaga dan mempercepatkan penggunaan teknologi lebih bersih serta lestari di seluruh lapangan terbang di bawah pengurusannya.
Menurut MAHB, pengiktirafan itu menunjukkan komitmen sektor penerbangan Malaysia ke arah pembangunan lapangan terbang yang mampan dan berdaya tahan di tengah-tengah peningkatan tumpuan global terhadap tindakan iklim dan kemampan alam sekitar.
Katanya, lapangan terbang di seluruh dunia semakin menerima pakai strategi pengurusan karbon dan melabur dalam teknologi hijau, ketika industri penerbangan berusaha ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih dalam beberapa dekad akan datang.
“Pencapaian ini mencerminkan usaha kolektif kakitangan, rakan kongsi kami dan pihak berkepentingan dalam menyokong agenda kemampanan MAHB dan komitmennya terhadap operasi lapangan terbang yang bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Perhimpunan, Persidangan dan Pameran Serantau ACI Asia Pasifik dan Asia Barat merupakan platform bagi pihak berkepentingan penerbangan untuk bertukar pandangan mengenai trend, cabaran serta peluang yang muncul dalam ekosistem lapangan terbang.
-- BERNAMA