KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan penambahan 26 perjalanan tren bagi tempoh 17 hingga 29 Mac sempena sambutan Aidilfitri bagi memenuhi permintaan tinggi penumpang yang pulang ke kampung.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan 18 perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan lapan perkhidmatan EMUPlus akan beroperasi susulan tiket perkhidmatan sedia ada hampir habis terjual bagi tempoh berkenaan.
Sebanyak 10 perjalanan tren ETS tambahan telah mula dijual tengah hari ini, manakala baki 16 perjalanan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Sepanjang tempoh operasi, tren ETS tambahan dan EMUPlus akan menyediakan 8,118 tempat duduk sehari, termasuk pilihan kelas perniagaan, menjadikan keseluruhan 105,534 tempat duduk tambahan bagi menampung lonjakan penumpang musim perayaan.
“Secara keseluruhan, jumlah tempat duduk yang ditawarkan sepanjang tempoh sambutan Aidilfitri adalah sebanyak 285,714 merangkumi 70 perjalanan sehari dengan purata 21,978 tempat duduk sehari,” menurut KTMB.
KTMB memaklumkan perkhidmatan ETS tambahan melibatkan lapan perjalanan laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral, enam perjalanan Ipoh-KL Sentral-Ipoh, masing-masing dua perjalanan bagi laluan Butterworth-KL Sentral-Butterworth serta Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar.
Bagi perkhidmatan EMUPlus pula, lapan perjalanan melibatkan laluan Ipoh-KL Sentral-Ipoh sepanjang tempoh sama.
Selain itu, KTMB turut menyediakan Perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) edisi Pantai Timur, yang akan beroperasi pada 18 Mac bagi laluan KL Sentral-Tumpat dan 22 Mac bagi laluan Tumpat-KL Sentral dengan 792 tiket ditawarkan termasuk koc tempat tidur, dengan tambang bermula RM80-RM95.
ELA edisi Utara pula melibatkan laluan KL Sentral-Padang Besar pada 17 dan 22 Mac, serta Padang Besar-KL Sentral pada 18 dan 23 Mac, dengan 1,200 tiket ditawarkan pada kadar tambang RM70 sehala.
"Tiket boleh diperoleh secara tanpa tunai menerusi aplikasi KITS Style, laman web rasmi KTMB atau mesin kios di stesen terpilih, dan orang ramai digalakkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kehabisan tiket pada saat akhir,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA