KUALA LUMPUR: KTMB akan menyediakan 26 perjalanan tren tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 bagi tempoh 17 hingga 29 Mac, merangkumi 18 ETS dan 8 EMUPlus untuk menampung permintaan penumpang yang meningkat.
Dalam satu kenyataan, tren tambahan itu menawarkan sebanyak 8,118 tempat duduk sehari, menjadikan keseluruhan 105,534 tempat duduk sepanjang operasi tambahan.
Jelas kenyataan itu, secara keseluruhan musim Aidilfitri, KTMB menyediakan 285,714 tempat duduk melalui 70 perjalanan tren sehari.
"Perkhidmatan tambahan meliputi laluan utama seperti JB Sentral, Ipoh, Butterworth dan Padang Besar, manakala 10 tren ETS tambahan akan mula dijual pada 1 Mac 2026.
"KTMB turut mengaktifkan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) bagi edisi Pantai Timur dan Utara, melibatkan laluan KL Sentral–Tumpat–KL Sentral serta KL Sentral–Padang Besar–KL Sentral, dengan lebih 1,900 tiket ditawarkan merangkumi koc tempat duduk dan tempat tidur," menurut kenyataan itu pada Ahad.
Jelas kenyataan itu, perkhidmatan itu meliputi laluan utama seperti JB Sentral, Ipoh, Butterworth dan Padang Besar.
Sementara bagi sektor selatan, jadual operasi tren tambahan bermula seawal 7.00 pagi, manakala sektor utara bermula pada 6.10 pagi, mengikut perjalanan pertama yang ditawarkan.
Dalam pada itu, KTMB memaklumkan, tiket bagi perkhidmatan khas itu masih tersedia dan boleh dibeli melalui aplikasi KITS, laman sesawang KTMB, atau mesin kios KTMB di stesen terpilih.
"Inisiatif menambah perkhidmatan ini adalah usaha berterusan KTMB memastikan rakyat menikmati perjalanan selesa, selamat dan efisien sempena musim perayaan, di samping mengurangkan kesesakan jalan raya.
"Orang ramai digalakkan merancang perjalanan awal dan membeli tiket lebih awal untuk menikmati tambang fleksibel serta mengelakkan kehabisan tiket. KTMB juga menasihatkan penumpang supaya hadir lebih awal bagi melancarkan proses pemeriksaan keselamatan serta dokumentasi," jelas kenyataan itu.