KANGAR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menguruskan bantuan segera kepada keluarga dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang dilaporkan lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka dekat Sungai Petani, Kedah petang semalam.
KPM dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook kementerian itu hari ini memberitahu sokongan psikososial turut disediakan dan aspek kebajikan serta kesejahteraan diberikan tumpuan.
“KPM menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar IPG Kampus Perlis yang mengalami kemalangan sewaktu mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus pada Sabtu. Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” menurut KPM.
KPM memaklumkan kejadian itu sedang dalam siasatan pihak berkuasa dan kementerian itu juga telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.
“Semua institusi pendidikan bawah kelolaan KPM diingatkan supaya sentiasa memastikan penganjuran aktiviti luar mematuhi setiap SOP yang sedang berkuat kuasa dan keselamatan peserta diberi perhatian,” menurut KPM.
Sementara itu, berdasarkan Facebook rasmi IPG Kampus Perlis, dua pelajar itu ialah Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20.
Malam tadi, dilaporkan dua individu yang masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan dipetik berkata mayat kedua-dua mangsa ditemukan kira-kira 7.30 malam.
-- BERNAMA