PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan sesi libat urus dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) bagi membincangkan kesan penyelarasan harga bahan api serta implikasinya terhadap pengusaha bas dan van sekolah.
KPDN menerusi hantaran Facebook memaklumkan, sesi itu dipengerusikan Setiausaha Bahagian Kawal Selia Petroleum KPDN, Mohd Nazib Che Din dan turut melibatkan pemegang taruh termasuk Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat serta wakil syarikat operator minyak seperti Petronas, Shell dan Petron.
Dalam sesi itu, KPDN menjelaskan kerajaan memberi perhatian khusus terhadap kebergantungan operasi bas dan van sekolah kepada kos bahan api, justeru kenderaan berkenaan disenaraikan dalam kategori pengangkutan darat awam yang layak memohon kad fleet bagi pembelian bahan api pada harga bersubsidi.
Seiring pelaksanaan rasionalisasi subsidi, kerajaan turut memperkenalkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi memastikan penyasaran subsidi lebih berfokus.
Melalui mekanisme itu, pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan serta pengangkutan air awam layak memperoleh petrol pada harga RM2.05 seliter menerusi SKPS manakala bagi SKDS, diesel ditawarkan pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter bagi pengangkutan darat barangan.
KPDN memaklumkan, perbincangan turut memfokuskan kepada tatacara permohonan subsidi menerusi sistem MySubsidi, proses permohonan kad fleet daripada syarikat minyak, penetapan kuota bahan api bagi bas dan van sekolah serta cadangan memperkasakan pembangunan sektor itu.
Sementara itu, Presiden PPPBSM, Amali Munif Rahmat menyambut baik penganjuran sesi libat urus itu dan menghargai komitmen KPDN serta agensi berkaitan dalam memastikan kelancaran operasi perkhidmatan bas dan van sekolah, khususnya ketika berhadapan cabaran peningkatan kos semasa.
Beliau berkata, hasil sesi itu akan disalurkan kepada ahli persatuan bagi memastikan pengusaha mendapat manfaat optimum daripada pelaksanaan subsidi bersasar kerajaan.
-- BERNAMA