KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada syarikat Billion Stars Express Sdn Bhd susulan rakaman tular yang memaparkan pemanduan berbahaya oleh seorang pemandu bas ekspres milik syarikat berkenaan, baru-baru ini.
APAD dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian berkenaan yang boleh membahayakan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain.
Menurut kenyataan itu, siasatan sedang dijalankan terhadap bas ekspres bernombor pendaftaran BSB 4999 di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) termasuk melibatkan Seskyen 22(1)(b)(iii) berkaitan kelakuan pemandu dan konduktor kenderaan perkhidmatan awam.
“Siasatan turut melibatkan Seksyen 23(1)(b) berkaitan kegagalan pengendali berlesen dan pekerjanya memberikan keutamaan tertinggi kepada keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya.
“Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Perkara 7, Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) yang menetapkan pengendali berlesen bertanggungjawab memastikan pekerja dan pemandu sentiasa menjaga tingkah laku semasa beroperasi,” menurut kenyataan itu.
Menurut APAD, STS telah dikeluarkan pada 16 April lepas selaras dengan Seksyen 27 Akta 715, yang memberi kuasa kepada agensi itu untuk mengambil tindakan terhadap pemegang lesen yang didapati melanggar syarat operasi.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan salah laku atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan pengangkutan awam melalui talian aduan Kementerian Pengangkutan seperti hubungi talian 1-800-88-7723 atau WhatsApp 019-290 7723.
-- BERNAMA