SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menggagalkan cubaan menyeleweng kira-kira 3,400 liter diesel bersubsidi dalam rondaan di sekitar Pandamaran, Klang, awal pagi tadi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor Mohd Hanizam Kechek berkata kejayaan itu hasil pemantauan berterusan melibatkan tujuh Pejabat KPDN di negeri ini bagi memastikan pengagihan bahan api bersubsidi dilaksanakan secara telus, teratur serta sampai kepada golongan sasar.
“Kira-kira 1 pagi, anggota rondaan telah mengesan sebuah lori jenis bonded berhenti di sekitar Pandamaran, sebelum pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu dijalankan.
“Hasil pemeriksaan menemukan enam unit Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter setiap satu yang mengandungi bahan api disyaki diesel selain badan lori yang diubah suai dengan hos penyambung serta pam bermeter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu lori berkenaan cuba melarikan diri namun berjaya dihalang anggota penguat kuasa.
Mohd Hanizam berkata siasatan awal mendapati pemandu itu dipercayai membuat pengisian diesel di beberapa stesen minyak berhampiran berdasarkan resit pembelian yang ditemukan semasa pemeriksaan.
“Anggaran jumlah diesel yang berjaya diselamatkan dan disyaki untuk diseleweng adalah kira-kira 3,400 liter dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM100,000.
“Tindakan ini turut berjaya mengelakkan ketirisan subsidi negara dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya.
Pemandu lelaki berumur lingkungan 30-an itu gagal mengemukakan dokumen sah memiliki dan membawa bahan api berjadual.
Dia kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
-- BERNAMA