KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menegaskan sebarang permohonan untuk menjadikan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) sebagai parti teras gabungan itu tertakluk kepada persetujuan sebulat suara daripada semua parti komponen.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini, persetujuan tersebut masih belum dicapai, yang menjadi kekangan utama kepada hasrat KIMMA untuk diiktiraf sebagai parti teras dalam BN.
“Perlembagaan Barisan Nasional menetapkan mana-mana permohonan untuk menyertai BN sebagai parti teras mesti mendapat persetujuan 100 peratus daripada semua parti teras sedia ada.
“Itu adalah kekangan yang kita hadapi ketika ini,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung KIMMA ke-46 bagi tahun 2025 di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, jika benar terdapat pihak dalam kalangan parti komponen yang tidak menghalang penyertaan KIMMA, perkara itu perlu dibuktikan secara rasmi dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan datang.
“Jika benar mereka tidak menghalang, saya mahu perkara itu dibuktikan dalam mesyuarat dengan membuat kenyataan rasmi dan bertulis untuk menerima serta meminda Perlembagaan BN.
“Kita tidak mahu kenyataan berbeza antara media, ucapan dan dalam mesyuarat. Kesetiaan mesti konsisten, di depan dan di belakang, siang dan malam,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan kesetiaan dalam sesebuah gabungan politik mempunyai nilai yang tinggi dan tidak boleh dipermainkan.