KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bertindak lebih awal dengan merangka satu kerangka rangsangan fiskal yang komprehensif bagi menghadapi risiko kejutan tenaga global yang berpotensi mencetuskan gangguan ekonomi berskala besar.
Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee menegaskan bahawa negara tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan reaktif semata-mata, sebaliknya perlu membina mekanisme lebih awal sebelum krisis melanda.
“Rangsangan fiskal tidak boleh dilihat sebagai alat kecemasan semata-mata. Ia mesti menjadi sebahagian daripada kesiapsiagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa berkata, perkembangan geopolitik semasa menunjukkan bahawa dunia sedang menghampiri satu fasa tekanan tenaga yang serius, jauh melangkaui turun naik biasa harga minyak.
Beliau memberi amaran bahawa lonjakan harga minyak sehingga dua, tiga atau empat kali ganda bukan sekadar kemungkinan, tetapi berpotensi menjadi kejutan sistemik yang memberi kesan menyeluruh kepada ekonomi.
“Apabila rantaian bekalan tenaga terganggu, kesannya adalah menyeluruh, merangkumi perdagangan global, keselamatan makanan, pengangkutan, sehinggalah kehidupan harian rakyat,” katanya.
Tambah beliau, jaringan keselamatan sedia ada tidak direka untuk menampung kejutan sebesar itu.
Mekanisme sedia ada tidak mencukupi
Howard mengakui bahawa langkah seperti BUDI95 dan rasionalisasi subsidi diesel telah membantu meredakan tekanan awal akibat ketidaktentuan global.
Namun, beliau menegaskan bahawa langkah tersebut hanya sesuai untuk keadaan semasa, bukan untuk krisis berskala besar.
“Tiada mekanisme sedia ada, sama ada dalam kerajaan atau sektor swasta yang mampu menahan lonjakan kos tenaga sehingga tiga atau empat kali ganda,” katanya.
Dalam situasi tersebut, katanya, rangsangan fiskal bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi penstabil ekonomi terakhir.
Daripada reaktif kepada siap siaga
Beliau turut menekankan keperluan perubahan pendekatan dasar daripada reaktif kepada kesiapsiagaan.
Menurutnya, pengalaman lalu menunjukkan bahawa kelemahan bukan terletak pada intervensi kerajaan, tetapi pada reka bentuk dan pelaksanaannya.
“Penyelesaiannya bukan mengelakkan intervensi, tetapi memastikan pelaksanaan lebih tepat; iaitu bersasar, telus dan boleh dijejak secara digital,” katanya.
Beliau menambah bahawa pendekatan baharu perlu memberi tumpuan kepada keberkesanan dan akauntabiliti bagi mengelakkan ketirisan.
Kos tidak bertindak lebih tinggi
Dalam pada itu, Howard menegaskan bahawa kebimbangan terhadap peningkatan hutang negara tidak boleh menjadi alasan untuk tidak bertindak.
Sebaliknya, beliau berkata kos kegagalan bertindak jauh lebih besar sekiranya ekonomi terjejas secara mendadak.
“Perbahasan sebenar bukan sama ada perlu berbelanja, tetapi apabila kos tidak bertindak jauh lebih tinggi melangkaui kos intervensi,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa ambang tersebut akan tercapai apabila harga tenaga melangkaui kemampuan rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), rantaian bekalan mula terganggu serta risiko kehilangan pekerjaan meningkat.
Cadang kerangka diluluskan Parlimen lebih awal
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya satu kerangka rangsangan fiskal dibentangkan dan diluluskan di Parlimen lebih awal sebagai mekanisme kontingensi.
Kerangka tersebut, katanya, perlu merangkumi beberapa elemen utama:
- Pencetus automatik bagi pengembangan subsidi berdasarkan ambang harga minyak
- Sokongan serentak kepada rakyat dan perniagaan
- Mekanisme pemantauan ketat bagi mengelakkan ketirisan
- Klausa penamatan jelas bagi memastikan disiplin fiskal
“Membantu rakyat tanpa membantu perniagaan adalah satu percanggahan. Begitu juga membantu perniagaan tanpa melindungi rakyat adalah satu kegagalan,” katanya.
Mengulas lanjut, Howard berkata tindakan perlu diambil segera sebelum keadaan menjadi lebih kritikal.
Beliau menegaskan bahawa ketidaktentuan geopolitik global akan terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga, sekali gus mengecilkan ruang kesilapan bagi negara.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga harga melonjak di luar kawalan sebelum bertindak. Kita mesti bersedia sekarang,” menurutnya.
Beliau menambah bahawa mandat Parlimen adalah penting bagi memastikan setiap langkah yang diambil mempunyai legitimasi dan keberkesanan.
“Jika kita bersedia sekarang, rangsangan fiskal menjadi benteng perlindungan. Jika kita berlengah, ia hanya akan menjadi langkah penyelamatan yang mahal dan terdesak,” katanya.