Skip to main content

Malaysia

Kayak dinaiki pelajar IPG dipercayai terbalik kerana arus deras - Polis

Polis mengesahkan tragedi membabitkan dua pelajar IPG Kampus Perlis yang maut semasa aktiviti kayak di perairan Pantai Merdeka pada Sabtu dipercayai akibat arus deras.
Polis mengesahkan tragedi membabitkan dua pelajar IPG Kampus Perlis yang maut semasa aktiviti kayak di perairan Pantai Merdeka pada Sabtu dipercayai akibat arus deras. -Foto Sinar Harian

SUNGAI PETANI: Siasatan awal polis mengesahkan tragedi membabitkan dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang maut semasa aktiviti kayak di perairan Pantai Merdeka pada Sabtu dipercayai akibat arus deras.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan bagaimanapun berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk siasatan lanjut.

“Polis merujuk kes ini kepada pihak maritim untuk siasatan lanjut,” katanya.

Selain itu, Hanyan berkata, kayak dinaiki mangsa dipercayai terbalik semasa kejadian.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja ditemui sekitar jam 7.30 malam.

Beliau juga memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa memakai jaket keselamatan ketika menjalankan aktiviti tersebut.

Dalam kejadian pada Sabtu, dua mangsa dikenal pasti sebagai Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, dilaporkan lemas semasa menjalankan aktiviti kayak di Pantai Merdeka.

Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menzahirkan rasa dukacita serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua pelajar terbabit.

Menurut kenyataan itu, bantuan segera sedang diuruskan kepada keluarga termasuk sokongan psikososial dan kebajikan.

Kementerian juga memaklumkan siasatan dalaman telah dimulakan bagi meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP), di samping mengingatkan semua institusi pendidikan mematuhi garis panduan keselamatan semasa melaksanakan aktiviti luar. -Sinar Harian

 

Must Watch Video