Skip to main content

Dunia

Helikopter tentera Korea Selatan tersalah masuk DMZ

41467101159_helicopter.jpg
Pesawat itu pada masa berkenaan dilaporkan tidak mempunyai kelulusan untuk memasuki bahagian DMZ Korea Selatan daripada Komando Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNC). - Gambar hiasan

SEOUL: Sebuah helikopter tentera Korea Selatan secara tidak sengaja memasuki Kawasan Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan negara itu dengan Korea Utara bulan lepas semasa operasi kebakaran hutan, kata Ketua Staf Bersama (JCS) pada Ahad, lapor Agensi Berita Yonhap. 

Helikopter Tentera Surion tersilap memasuki zon penampan pada 23 Mac selepas dikerahkan untuk membantu memadamkan kebakaran di daerah sempadan Yeoncheon, kira-kira 60 kilometer (km) utara Seoul, menurut JCS.

Pesawat itu pada masa berkenaan dilaporkan tidak mempunyai kelulusan untuk memasuki bahagian DMZ Korea Selatan daripada Komando Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNC), yang menyelia operasi di dalam kawasan yang dikawal ketat itu.

Helikopter tersebut dikatakan terbang berhampiran Garis Gencatan Senjata, yang membahagikan tanah tanpa manusia selebar 4 km, mendorong siasatan oleh tentera Korea Selatan dan UNC sama ada ia terbang melepasi garisan sempadan.

Tentera Korea Utara, bagaimanapun, tidak menunjukkan reaksi luar biasa pada masa itu.

Helikopter tempatan tersebut dilaporkan tidak membawa senjata semasa penerbangan.

Seorang pegawai JCS berkata kejadian sedang disiasat namun enggan memberikan butiran, atas alasan keselamatan operasi.

DMZ diwujudkan pasca-Perang Korea 1950-53, yang berakhir dengan gencatan senjata dan bukannya perjanjian damai.

-- BERNAMA-YONHAP 

Must Watch Video