Skip to main content

Malaysia

Aksi pandu lawan arus tular, polis buru pemandu kereta

Sumber: BERNAMA
Polis telah mengarahkan usaha mengesan pemandu serta kenderaan terbabit bagi tindakan lanjut. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Aksi sebuah kereta dipandu secara melawan arus di Jalan Klang Lama, di sini, pada Ahad mengundang padah apabila kejadian itu dirakam sebelum tular di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung video tular itu pada jam 11.38 pagi, Ahad.

Menurutnya, susulan itu, pihak JSPT Kuala Lumpur telah bertindak segera menjalankan semakan dan siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 5 April, Ahad, kira-kira jam 9.44 pagi di Jalan Klang Lama.

“Pergerakan kenderaan itu dikesan bermula dari persimpangan Jalan Klang Lama/Jalan Sepadu sehingga ke persimpangan Jalan Klang Lama/Jalan Kuchai Lama dengan anggaran jarak kira-kira 500 meter,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, setakat semakan melalui sistem aduan, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, polis telah mengarahkan usaha mengesan pemandu serta kenderaan terbabit bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video