Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: KPKM nilai kesan terhadap sektor makanan negara

81752753155_MohamadSabu.jpg
Mohamad berkata kerajaan terus memberi tumpuan kepada isu keterjaminan makanan, khususnya bekalan beras yang juga komponen keselamatan makanan paling utama negara. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menilai kemungkinan kesan konflik di Asia Barat terhadap sektor makanan negara termasuk potensi kenaikan kos input pertanian susulan ketidaktentuan harga minyak dunia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini kesan langsung terhadap bekalan makanan negara dijangka terhad kerana kebanyakan makanan import Malaysia tidak diperoleh dari negara di Asia Barat.

Beliau berkata sebahagian besar bekalan makanan import negara datang dari negara ASEAN, India, Pakistan, New Zealand, Australia, Brazil dan China.

“Buat masa ini kesannya tidak berapa banyak kerana barang-barang makanan yang kami import tidak banyak dari Asia Barat.

“… tapi oleh kerana kesan kenaikan harga minyak itu barangkali akan mengakibatkan kenaikan harga dan sebagainya, kami tunggulah laporan yang dibuat kerana kami tidak boleh secara agak-agak,” katanya.

Mohamad berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama warga KPKM sempena Ramadan 2026 di sini semalam.

Beliau bagaimanapun berkata kenaikan harga minyak dunia berpotensi memberi kesan kepada kos pengeluaran pertanian termasuk kemungkinan peningkatan harga baja.

“Pegawai kementerian kini menjalankan analisis secara intensif bagi mendapatkan maklumat awal serta membuat unjuran sekiranya harga minyak meningkat secara berterusan.

“KPKM juga sedang melaksanakan proses semakan stok bagi menilai jumlah bekalan input pertanian sedia ada serta tempoh bekalan itu mampu bertahan,” katanya.

Mohamad berkata antara langkah lain termasuk merancang keperluan bekalan berdasarkan stok sedia ada selain meningkatkan usaha pengeluaran makanan tempatan.

Beliau berkata usaha itu melibatkan penggunaan teknologi baharu dalam sektor pertanian selain membuka kawasan pertanian baharu, khususnya di Sabah dan Sarawak serta membangunkan tanah terbiar.

Pada masa sama, Mohamad berkata kerajaan terus memberi tumpuan kepada isu keterjaminan makanan, khususnya bekalan beras yang juga komponen keselamatan makanan paling utama negara walaupun ketika ini harga beras import stabil.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video