KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah (WFH) bagi semua kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April 2026.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selepas dibincangkan secara terperinci dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), susulan krisis tenaga global yang semakin meruncing.
Menurut beliau, konflik berterusan di Asia Barat melibatkan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran telah menjejaskan rantaian bekalan global, khususnya sumber tenaga, dan kesannya kini mula dirasai di seluruh dunia termasuk Malaysia.
“Tujuannya adalah untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga. Keadaan ini tidak seperti biasa dan kita mesti bertindak sesuai dengan tuntutan masa,” katanya dalam taklimat khas yang disiarkan hari ini.
Anwar menegaskan, walaupun kedudukan ekonomi Malaysia ketika ini lebih stabil berbanding beberapa negara lain, kerajaan tidak boleh mengambil mudah risiko yang sedang berkembang, khususnya terhadap bekalan minyak dan gas.
Dalam masa yang sama, kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah penampan bagi meredakan impak krisis tenaga global terhadap rakyat, termasuk menyerap kos sekitar RM4 bilion sebulan bagi mengekalkan harga bahan api serta mengawal kesan kenaikan kos sara hidup.
Sebagai langkah tambahan, kerajaan turut menyelaraskan kuota BUDI MADANI 95 kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa serta-merta, selain menguatkuasakan penggunaan diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Perincian lanjut mengenai pelaksanaan dasar bekerja dari rumah, termasuk kaedah, tempoh dan kesannya terhadap perkhidmatan awam, katanya lagi, akan diumumkan kemudian.