KUALA LUMPUR: Bayangkan setiap pagi, kita mencium dahi anak, membetulkan baju sekolah mereka, dan melambai tangan di pagar sekolah dengan satu harapan “Belajarlah rajin-rajin, nanti petang ayah jemput pulang.” Kita melepaskan mereka dengan kepercayaan penuh bahawa sekolah adalah tempat paling selamat di dunia selepas rumah sendiri.
Namun, dalam sekelip mata, kepercayaan itu hancur luluh apabila seorang anak yang kita hantar dengan senyuman, pulang dalam keadaan sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa.
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan dua tragedi menyayat hati yang berlaku dalam tempoh singkat. Dua nyawa anak kita melayang akibat dilanggar kenderaan dan ianya berlaku di kawasan sekolah itu sendiri.
Walaupun punca langsung kedua-dua kes ini mungkin berbeza, hakikatnya ia berkongsi satu naratif yang sama iaitu kegagalan sistem keselamatan yang gagal memisahkan antara nyawa manusia dan jentera.
Kanak-kanak bukan 'adult-lite'
Sebagai pengamal keselamatan, saya sering ditanya, "Bukankah itu kemalangan? Bukankah itu takdir?"
Ya, ajal itu di tangan Tuhan, namun dari sudut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), kita perlu jujur dengan diri sendiri. Kita tidak boleh terus berselindung di sebalik takdir jika sistem yang kita bina itu sendiri rapuh.
Kita perlu sedar bahawa kanak-kanak bukanlah 'orang dewasa kecil' (adult-lite). Mereka adalah jiwa yang belum matang untuk menilai risiko dengan tepat.
Dalam disiplin keselamatan, interaksi antara kenderaan dan pejalan kaki diklasifikasikan sebagai ‘high-risk interface’ dan kanak-kanak merupakan kumpulan paling terdedah (vulnerable) disebabkan tiga faktor kritikal :
1. Keupayaan kognitif : mereka belum mampu menilai kelajuan dan jarak kenderaan dengan tepat.
2. Tingkah laku : kanak-kanak cenderung bertindak di luar jangka (impulsif).
3. Fizikal : saiz mereka yang kecil mewujudkan titik buta (blind spot) yang besar seterusnya memudahkan mereka terlindung daripada pandangan pemandu.
Justeru, apabila kita membiarkan kenderaan jyang jauh lebih besar dan berkuasa bergerak dalam ruang yang sama dengan anak-anak kecil ini tanpa sebarang penghadang fizikal, kita sebenarnya sedang ‘mengundang’ tragedi.
Amalan terbaik global telah lama menetapkan bahawa pergerakan kenderaan dan pelajar “mesti dipisahkan secara fizikal”, bukannya sekadar bergantung kepada kawalan lembut seperti arahan, papan tanda, atau jeritan amaran. Kita tidak boleh mengharapkan kanak-kanak untuk sentiasa berhati-hati kerana lumrah mereka adalah untuk bermain dan berlari.
Hakikatnya, yang perlu "berhati-hati" dan berfungsi dengan sempurna adalah sistem keselamatan kita.
'Safe by design' kerana manusia sentiasa alpa
Apabila tragedi berlaku, kita dengan pantas menuding jari kepada pemandu.
“Kenapa cuai?"
"Kenapa boleh tersilap tekan pedal minyak?"
Namun, dalam perspektif keselamatan yang profesional dan matang, kesilapan manusia bukan lagi dianggap sebagai "nasib malang", bahkan ia juga bukanlah punca dasar (root cause), sebaliknya ia adalah suatu peristiwa yang sudah boleh dijangka (predictable event).
Di sinilah pentingnya prinsip “keselamatan melalui reka bentuk” (safe by design) atau juga dikenali sebagai “pencegahan melalui reka bentuk” (prevention through design). Maknanya, sesuatu sistem itu wajib direka dengan mengambil kira kelemahan manusia, supaya walaupun manusia melakukan kesilapan, nyawa tetap selamat.
Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, jika di kilang atau tapak industri kita boleh mewajibkan penghadang mesin yang begitu ketat, mengapa di sekolah iaitu tempat "harta paling berharga" kita berada, namun sistemnya menjadi begitu longgar?
Di mana ‘bollard’ atau tiang penghalang yang sepatutnya menjadi 'benteng' antara pejalan kaki dengan laluan kereta? Di mana elemen ‘traffic calming’ yang memaksa kenderaan diperlahankan secara drastik? Mengapa kita masih membiarkan ruang untuk kenderaan memecut di zon yang penuh dengan kanak-kanak?
Hakikatnya, kita terlalu bergantung kepada "pesanan" dan "nasihat" supaya berhati-hati, sedangkan yang kita perlukan adalah penghadang fizikal yang nyata dan elemen ‘traffic calming’ yang berkesan.
“Zon Merah” yang terabai
Tragedi ini boleh diibaratkan seperti “Swiss Cheese Model’. Kemalangan berlaku apabila lubang-lubang pada setiap lapisan perlindungan selari antara satu sama lain, daripada reka bentuk yang lemah, SOP yang longgar, hinggalah kepada pengawasan yang tidak efektif.
Kelemahan ini paling ketara semasa ‘Critical Risk Window’ iaitu waktu puncak ketika loceng sekolah berbunyi. Itulah waktu paling gawat di mana pelajar keluar berpusu-pusu dalam keadaan gembira atau letih. Dalam kekalutan itu, ketiadaan pengasingan trafik yang jelas dan pengawal trafik yang terlatih menjadikan kawasan sekolah sebagai zon risiko tinggi setiap hari.
Apa yang perlu dilaksanakan?
Kita tidak boleh lagi bersikap reaktif. Kita tidak perlukan satu lagi hantaran takziah di media sosial. Apa yang kita perlukan ialah tindakan drastik daripada pihak kementerian dan pengurusan sekolah merangkumi :
Pengasingan fizikal total - wujudkan zon larangan kenderaan sepenuhnya di kawasan tumpuan pelajar pada waktu puncak. Gunakan penghadang kekal, bukan sekadar kon plastik.
Audit keselamatan infrastruktur - setiap sekolah perlu menjalani audit OSH secara berkala bagi mengenal pasti titik konflik antara pejalan kaki dan kenderaan.
‘Drop-off Zone’ berstruktur - memastikan zon turun-naik pelajar dilindungi penghadang kekal dan berada di luar aliran trafik utama.
Had Kelajuan Mikro - menetapkan had kelajuan tidak melebihi 10 km/j di dalam kawasan sekolah dengan pemantauan ketat dan penguatkuasaan tanpa kompromi.
Latihan – berikan latihan terutamanya kepada pengawal keselamatan berkaitan kawalan aliran lalu lintas, pengurusan konflik dan pengurusan kecemasan.
Kesimpulan
Sekolah sepatutnya menjadi taman ilmu, bukannya medan risiko. Jangan biarkan pagar sekolah menjadi saksi terakhir perpisahan kita dengan anak-anak yang kita sayangi.
Selagi kita masih menganggap keselamatan itu sebagai "kos" atau "menyusahkan", selagi itulah kita menggadaikan nyawa anak-anak kita. Keselamatan tidak berlaku secara kebetulan, ia perlu direka, diurus, dan dikuatkuasakan.
Sudah tiba masanya kita bina sekolah yang benar-benar melindungi mereka kerana setiap anak yang melangkah masuk ke pagar sekolah, berhak untuk pulang semula ke pelukan ibu bapa dengan selamat.
Jangan tunggu nyawa seterusnya melayang untuk kita mula memasang penghadang.
- Ts. Mohd Soffian Osman ialah Perunding Keselamatan & Kesihatan di Safety Management Academy dan seorang Teknologis Profesional berdaftar dengan Malaysian Board of Technologists (MBOT). Berpengalaman luas dalam bidang keselamatan & kesihatan pekerjaan, pengurusan kecemasan, keselamatan makanan dan halal.
- Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.