Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Malaysia pengeluar minyak: Cerita separuh jalan, beri ruang kepada kerajaan

SEREMBAN, 27 Nov -- Penunggang motosikal mengisi minyak petrol RON95 ke dalam tangki motosikalnya di sebuah stesen minyak hari ini.  Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar yang sedang dipertimbangkan dijangka tidak akan meningkatkan kos kepada industri sedia ada.  Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan masih mengekalkan harga siling petrol RON95 pada kadar RM2.05 seliter dan diesel pada kadar RM2.15 seliter sehingga kini, walaupun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua pr
Untuk kekalkan harga minyak RON95 pada RM1.99 seliter, sekitar RM24 bilion akan dibelanjakan untuk subsidi minyak. Hangus untuk tahun ini sahaja. Sebagai bandingan, hampir bersamaan pembinaan 48 buah hospital! -Gambar fail

BERTAHUN hujah ‘Malaysia Pengeluar Minyak’ ini dijadikan sebab mengapa harga minyak di pam mesti kekal murah di Malaysia, baik kerajaan mahu pun rakyat. Apa pun status harga minyak pasaran global, harga minyak di Malaysia (sekarang untuk warganegara Malaysia) ‘mesti’ kekal murah. 

Bagaimana harga minyak di pam kekal murah walaupun harga minyak global melonjak naik? Bagi rakyat, itu tanggungjawab kerajaan. Kerajaan ‘mesti’ menanggung perbezaan harga minyak di pam dan harga minyak sebenar di pasaran. Kerajaan mesti tingkatkan subsidi minyak. Itu umumnya rumus rakyat. 

Sudah bertahun didendang dengan cerita separuh jalan. Malaysia kan pengeluar minyak? Harga minyak global melonjak naik, tentulah negara mendapat hasil yang tinggi. Kan Petronas itu milik kerajaan? Pulangkan hasil yang meningkat ini kepada rakyat, tingkatkan subsidi! 

Semua maklum, berikutan perang US/Israel-Iran, bekalan minyak dunia terganggu teruk. Geografi bekalan minyak dunia sangat unik. Sekitar 30% bekalan minyak dunia perlu melalui Selat Hormuz yang pada tahap minimum, lebarnya hanyalah 39 KM, lebih kurang jarak Bangi ke Seremban, yang sebahagiannya dikuasai Iran. 

Rantau pengeluar minyak dunia kini bergolak. Harga minyak mentah melonjak naik dari USD70 setong sebelum perang bermula kepada tertinggi USD112 setong, 60% kenaikan dalam hanya beberapa minggu. Kini masih ditahap yang tinggi USD104 setong. 

Penilaian dan persediaan yang rapi amat penting. Kenaikan harga minyak boleh menjejaskan pelbagai aspek ekonomi dunia. Kos pengangkutan, kos pengeluaran, kos makanan, kadar inflasi, polisi monetari dan lain-lain lagi berkemungkinan terkesan. 

Ekonomi Malaysia yang bersifat terbuka dan kebergantungan kepada ekonomi global yang tinggi mesti segera bersedia dengan kemungkinan ini. 

Kenaikan harga minyak global telah mengesani semua negara. Hampir semua negara didunia, pengeluar atau bukan pengeluar minyak telah menaikkan harga minyak di pam.

Malaysia mahu kekal kekalkan harga minyak sedia ada, ‘diraikan’ sebagai antara yang terendah didunia. Malah lebih rendah dari negara pengeluar minyak utama didunia. Khususnya, harga RON95 masih kekal RM1.99 seliter. 

Terkini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan subsidi minyak telah melonjak dari RM700 juta ke RM3.2 bilion hanya dalam seminggu! Anggaran kasar saya, hampir bersamaan dengan pembinaan enam buah hospital 300 katil! Itu baru seminggu. 

Benar Malaysia pengeluar minyak. Namun Malaysia bukanlah pengeluar minyak utama dunia. Kita bukan penentu tetapi lebih kepada penerima (pricetaker) harga minyak dunia. 

Rizab minyak Malaysia adalah sekitar 2.7 bilion tong yang hanya boleh bertahan sekitar 12 tahun. Berbanding Arab Saudi, rizab minyaknya ialah 267 bilion tong, boleh bertahan jauh lebih lama.

Peliknya, harga minyak di Arab Saudi kini ialah RM2.62 seliter, lebih tinggi dari Malaysia. 

Malaysia mengeluarkan sekitar 570,000 tong minyak sehari. Namun, penggunaan minyak Malaysia ialah 747,000 tong sehari, lebih dari keupayaan pengeluaran kita. Selebihnya kita perlu import.

Tidak perlulah kita berbincang isu yang lebih terperinci berkaitan kualiti minyak yang kita hasilkan. Cukup sekadar memahami kita pengeluar minyak tetapi secara bersih, kita adalah pengimport bersih (net importer)! Dalam dunia minyak dunia, Malaysia hanya sekelumit sahaja. 

Pada hemat saya, salah kita menekan kerajaan untuk mengekalkan harga minyak di pam pada tahap yang ‘sangat’ rendah berbanding harga pasaran sekarang. Tiada guna menjadi juara ‘antara harga minyak terendah di dunia’. Terendah yang merugikan negara; kita mengorbankan pembangunan jangka panjang negara. 

Subsidi bukan percuma, turun dari langit. Subsidi adalah perbelanjaan operasi, hangus setiap kali dibelanjakan. Tahun ini sahaja, PM menganggarkan untuk kekalkan harga minyak RON95 pada RM1.99 seliter, sekitar RM24 bilion akan dibelanjakan untuk subsidi minyak. Hangus untuk tahun ini sahaja. Sebagai bandingan, hampir bersamaan pembinaan 48 buah hospital! 

Sudahlah dengan cerita Malaysia pengeluar minyak. Maka harga minyak di pam mesti kekal rendah. Sudahlah dengan cerita kita ada Petronas, harga minyak global meningkat, maka kita untung banyak, pulang keuntungan kepada pada rakyat. Keuntungan Petronas bukan seperti dahulu, cabarannya besar. Sudah tiga tahun berturut-turut menyusut. Ini semua cerita separuh jalan. 

Kerajaan perlu menyemak semula kaedah penentuan harga minyak di pam. Subsidi boleh diteruskan tetapi mesti diselaraskan dengan kenaikan harga minyak global. 

Penyasaran dan penyaluran subsidi mesti lebih tertumpu, tidak semua warga negara Malaysia tetapi dikaitkan dengan tahap pendapatan. Kita ada pelbagai pengkalan data, PADU, BUDI, SARA, STR dan pelbagai lagi. 

Kita mesti beri ruang kepada kerajaan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk negara kita. Senang sama senang. Susah sama susah. Kita imbangkan keperluan dan manfaat jangka pendek dengan kepentingan pembangunan jangka panjang negara. 

Ini bukan salah kerajaan. Dunia berhadapan dengan krisis geopolitik yang getir. Semua, kerajaan, industri dan rakyat mesti bersama mengharungi krisis ini. Bukan masa menuding jari. 


Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali ialah Pengarah Institut Pembangunan & Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM).

Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video