Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Indeks kebolehpasaran graduan: Kompas strategik lahirkan modal insan

Fikriyah Abdullah UUM_UUM
Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah mewakili Naib Canselor dan UUM, menerima pengiktirafan daripada Talentbank pada satu majlis, 11 April lalu. - Gambar UUM

DALAM landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, sesuatu indeks, laporan atau penandaarasan kebolehpasaran graduan muncul sebagai instrumen atau kaedah penting dalam menilai keberkesanan sesebuah institusi pendidikan tinggi membangunkan modal insan negara di samping mengimbangi keperluan akademik.

Laporan tersebut menjadi petunjuk tentang sejauh mana sistem pendidikan tinggi mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi relevan dan diperlukan oleh pasaran pekerjaan atau industri.

Fungsi indeks kebolehpasaran graduan dalam pendidikan tinggi

Salah satu fungsi indeks berkaitan kebolehpasaran graduan adalah mengukur prestasi serta keberkesanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam negara ini dalam membentuk mahasiswa dan kesiapsiagaan mereka memasuki pasaran pekerjaan.

Kejayaan graduan memperoleh pekerjaan dalam tempoh tertentu selepas tamat pengajian, membantu IPT mengenal pasti kekuatan dan sebarang kelemahan program-program akademik sedia ada.

Ia juga menjadi tanda aras dan membolehkan perbandingan dibuat antara institusi, bidang pengajian atau prestasi sektor pendidikan tinggi antara negara. Setiap IPT akan menilai kedudukan mereka berbanding pesaing dari segi kebolehpasaran graduan dan seterusnya merangka strategi dan sasaran bagi menambahbaik setiap aspek dengan realistik. Melalui pendekatan tanda aras ini, universiti turut membuat penilaian terhadap kedudukan mereka dalam ekosistem pendidikan lebih luas.

Indeks-indeks kebolehpasaran graduan juga merupakan panduan dalam membantu setiap fakulti dan pengurusan akademik menyesuaikan kurikulum lebih relevan dengan kehendak industri. Sebagai contoh, jika kadar kebolehpasaran sesuatu IPT itu rendah bagi sesuatu bidang, ia memberi isyarat terhadap keperluan perubahan dan penambahbaikan termasuk peningkatan jaringan universiti-industri yang meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan pada masa hadapan.

Dari sudut penggubalan dasar, pihak kerajaan dan agensi terlibat dalam bidang pendidikan tinggi negara telah memanfaatkan laporan, indeks atau penandaarasan kebolehpasaran graduan bagi merangka polisi-polisi pendidikan dan berkaitan pembangunan modal insan mengikut keperluan semasa. Indeks ini menjadi petunjuk dalam merancang keperluan kemahiran untuk masa hadapan selain mengurangkan jurang antara sektor pendidikan tinggi dan industri.

Dalam konteks ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melaksanakan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang menjadi platform utama bagi pengumpulan pelbagai maklumat dan merekodkan perkembangan kerjaya graduan di negara ini.

Antara lain, data-data SKPG membolehkan KPT mengetahui status pekerjaan graduan selepas tamat pengajian, membantu pihak berkaitan memahami tahap kebolehpasaran graduan dan menerima maklum balas graduan tentang kualiti program pengajian, kemudahan dan pengalaman sepanjang tempoh pengajian.

Bagi pelajar dan ibu bapa pula, indeks kebolehpasaran graduan ini dijadikan rujukan penting yang membantu pembuatan keputusan memilih program pengajian dan IPT untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi.

Ini kerana, indeks tersebut memberi gambaran tentang prospek kerjaya pelajar apabila tamat pengajian nanti. Dalam pada itu, majikan menjadikan tanda aras kebolehpasaran graduan untuk mengenal pasti IPT yang konsisten melahirkan graduan berkualiti sekaligus meningkatkan keyakinan industri terhadap graduan dari institusi tertentu.

Dari sudut kebertanggungjawaban, indeks dan laporan tentang kebolehpasaran graduan ini mencerminkan ketelusan IPT terhadap impak pendidikan tinggi dan keberkesanan satu-satu program pengajian IPT dalam membentuk mahasiswa holistik dan tersedia untuk memasuki alam kerjaya yang seterusnya berperanan menyumbang kepada pembangunan berterusan negara ini.

Laporan terbaharu Talentbank mengenai kebolehpasaran graduan

Di Malaysia, antara laporan atau indeks kebolehpasaran graduan IPT yang menjadi rujukan adalah Talentbank Graduate Employbility Index. Laporan ini merupakan satu pengiktirafan yang memperlihatkan tahap keyakinan industri terhadap kualiti graduan dari segi kesediaan memasuki alam pekerjaan, kompetensi profesional, prestasi di tempat kerja serta kecenderungan majikan membuat pengambilan berulang disebabkan pengalaman positif mereka bersama graduan universiti.

Bagi Universiti Awam (UA), pencapaian dalam indeks Talentbank ini melambangkan keberkesanan mandat institusi dalam menyumbang secara langsung kepada pembangunan modal insan serta daya saing negara.

Pengiktirafan yang diberi menerusi indeks tersebut selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 (RPTM) dan agenda kebolehpasaran graduan nasional.

Indeks kebolehpasaran graduan oleh Talentbank ini berasaskan kepada dapatan analisis dan pengesahsahihan lebih 1,200 majikan di seluruh Malaysia. Ia menggambarkan tahap keyakinan majikan-majikan kepada kualiti graduan dan kekuatan bidang pengajian universiti dalam memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Sementara itu, bagi pemegang taruh ekosistem pendidikan tinggi, mereka menjadikan indeks ini sebagai salah satu ruang penilaian mengenai tahap kesepadanan latihan akademik universiti dengan keperluan sebenar industri.

Sebagai contoh, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diiktiraf oleh Talentbank mempunyai program pengajian Logistik dan Multimedia di kedudukan nombor 1 di Malaysia dalam kalangan UA di negara ini.

Indeks itu juga meletakkan graduan program Perakaunan, Pengurusan Perniagaan dan Pengurusan Sumber manusia UUM sebagai pilihan utama majikan syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di negara ini.

Menurut Naib Canselor UUM. Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, 3 bidang pengajian di UUM turut disenarai sebagai 3 terbaik dalam negara oleh Talentbank untuk tempoh 5 tahun berturut-turut iaitu pengajian Perbankan, Pengurusan Hospitaliti dan Pengurusan Sumber Manusia.

“Selain itu, 14 bidang pengajian di UUM turut mendapat penarafan 6 bintang daripada lebih 1,200 majikan seluruh negara dalam indeks terbaharu ini. Antaranya, Sains Aktuari, Pengiklanan, Perbankan, Keusahawanan, Pengurusan Acara dan Kewangan. Bidang lain termasuk Pengurusan Hospitaliti, Pengurusan Sumber Manusia, Undang-undang, Logistik, Pemasaran, Multimedia, Psikologi dan Pelancongan.

“Penarafan 6 bintang menunjukkan bahawa bidang pengajian ini telah tersenarai dalam kelompok 5 terbaik bagi kategori masing-masing berdasarkan penilaian dan pengesahsahihan majikan-majikan yang terlibat dalam penilaian indeks Talentbank. Penilaian dibuat secara berasingan mengikut kategori iaitu UA dan universiti swasta.

“Nampaknya majikan berpuas hati dengan graduan UUM malah menunjukkan tahap keyakinan industri terhadap kualiti graduan dilahirkan universiti ini selain menunjukkan kepercayaan majikan apabila diangkat sebagai peneraju kebolehpasaran graduan berdasarkan dapatan komprehensif peringkat nasional,” jelas Prof. Dr. Ahmad Martadha.

“Kualiti graduan dan kekuatan bidang pengajian universiti sangat penting dalam memenuhi keperluan pasaran pekerjaan di Malaysia terutama berkaitan tahap kesepadanan latihan akademik dengan keperluan sebenar industri. Malah, dalam keputusan SKPG UUM tahun lalu mencapai tahap kebolehpasaran graduan (GM) mencecah 96.6 peratus,” katanya lagi.

Majlis penyampaian anugerah dan trofi sebagai simbol pengiktirafan kepada universiti dan IPT yang tersenarai dalam indeks terbaharu Talentbank berlangsung di ibu negara pada 11 April lalu.

Indeks kebolehpasaran graduan ini dikeluarkan dengan asas sepenuhnya kepada merit dan dapatan data menerusi analisis secara triangulasi pihak majikan dan sumber data lain yang telah disahkan.

Beliau berkata, aspek kebolehpasaran graduan sememangnya diberi tumpuan kerana kejayaan sebenar universiti tidak hanya diukur melalui kecemerlangan akademik tetapi sejauh mana graduannya mampu mencipta nilai, menyesuaikan diri dengan keperluan industri dan memberi impak bermakna kepada masyarakat serta ekonomi negara.

Universiti pada hari ini tidak boleh terpisah daripada realiti dunia pekerjaan dan kebolehpasaran graduan kerana keupayaan institusi dilihat melalui keupayaan memenuhi keperluan masyarakat dan negara.

IPT mahu terus melahirkan graduan holistik bukan hanya sebagai pencari pekerjaan tetapi mampu mencipta peluang yang seterusnya memacu inovasi, membentuk industri dan memimpin perubahan dalam ekonomi global dan domestik tetapi tetap berpegang teguh kepada nilai insaniah.

Sehingga kini, UUM telah melahirkan 179,254 graduan dalam pelbagai bidang sejak diasaskan 42 tahun lalu.

Secara keseluruhannya, indeks, laporan dan penanda aras kebolehpasaran graduan berfungsi sebagai kompas strategik dalam mengemudi hala tuju pendidikan tinggi. Ia bukan sahaja membantu institusi menilai prestasi dan merancang penambahbaikan tetapi juga menyokong pembuat dasar, memandu pilihan pelajar, serta meningkatkan keyakinan majikan.

Dalam dunia yang semakin dipacu oleh data, keupayaan untuk mengukur dan memahami kebolehpasaran graduan menjadi salah satu kunci kepada pembinaan sistem pendidikan yang lebih relevan, responsif dan berdaya saing untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan rakyat.


*Khairul Anuar Abdul Malik merupakan Timbalan Pengarah (Media Korporat) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga Felo Universiti Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).

**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

Must Watch Video